fbpx

Sharifah Rose mahu jenama sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHARIFAH ROSE

NAMA Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd. Mazfira, 22, tidak a­sing lagi dalam bidang peragaan dan fesyen muslimah.

Dia yang mesra dengan panggilan Rose dan mempunyai pengikut seramai 672,000 orang di Instagram dan 255,000 di Twitter, mengecapi populariti sebagai influencer pada usia cukup muda.

Wajahnya yang cantik dan manis menjadi penghias kepada banyak jenama fesyen muslimah sejak mula berkecimpung sebagai model kira-kira empat tahun lalu.

Enggan bersandarkan rupa semata-mata, Rose kini gigih menghabiskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pemasaran Perniagaan di sebuah institusi pengajian tinggi swasta.

Bahkan, anak sulung daripada dua beradik yang bercita-cita untuk menjadi usahawan, meletakkan ilmu serta pengalaman yang ditimba sebagai batu asas sebelum berkecimpung dalam dunia perniagaan sebenar.

Ikuti 10 perkara menarik me­ngenai gadis itu.

Kosmo! Ahad: Sejak bila Rose menceburi bidang peragaan?
Rose: Saya mula menceburi bidang ini selepas tamat ­persekolahan. Ketika itu, saya baru buka akaun Instagram, namun tidak menyangka foto yang dimuat naik tular ­sehingga ke ­laman Twitter dan membuka ­peluang dalam bidang ini.

Apakah cabaran menghasilkan content untuk klien?
Cabarannya bukan sahaja terletak pada idea untuk sentiasa menghasilkan kandungan yang menarik dan segar, malah saya perlu sentiasa up-to-date de­ngan trend terkini dan isu semasa ­untuk kekal relevan.

ROSE mengecapi populariti sebagai influencer pada usia yang cukup muda.

Adakah kehadiran instafamous lain satu persaingan?
Saya tidak pernah menganggap kehadiran instafamous lain sebagai satu persaingan kerana masing-masing memiliki kelebihan. Bagi saya, pembawaan diri dan karakter yang original pen­ting kerana pada zaman sekarang, apa yang ditunjukkan di media sosial kadang-kadang tidak semestinya sama de­ngan kehidupan sebenar.

Bagaimana Rose membahagikan masa antara kerjaya dan pelajaran?
Agak sukar untuk mengimbangi tugas sebagai pelajar, model dan influencer ke­rana ada sebahagian tugas yang diberikan secara tiba-tiba. Buat masa ini, pelajaran adalah keutamaan, ke­rana saya mahu habiskan pengajian dalam tempoh setahun lagi.

Rose pastinya tidak terlepas daripada kritikan netizen, bagaimana cara me­ngatasinya?
Sebagai manusia biasa, saya menganggap ia adalah ruang untuk belajar daripada kesilapan dan memperbaiki kelemahan diri. Saya juga belajar untuk tidak menerima bulat-­bulat kritikan tersebut sebalik­nya tapis komen-komen berunsur negatif dan dapatkan sokongan daripada keluarga ­serta kawan-kawan yang lebih mengenali diri kita.

Bagaimana menjaga privasi hubungan dengan anak tiri Datuk Seri Siti Nurhaliza, Aazief Khalid?
Hubungan saya dengan Aazief bukanlah rahsia dan peminat pastinya mahu mengetahui tentang kami. Namun penting untuk saya menjaga ruang privasi de­ngan tidak berkongsi kehidupan peribadi secara keterlaluan di alam maya.

Bagaimana cara Rose menghilangkan stres dan tekanan yang diterima di laman sosial?
Saya suka membaca buku sebagai salah satu cara detoksifikasi daripada media sosial dan antara buku yang menjadi kegemaran ialah buku motivasi. Baru-baru ini saya baca buku berjudul The Art of Thinking Clearly tulisan Rolf Dobelli. Selain itu, saya juga akan mengemas rumah, mencuci baju dan melipat pakaian.

Pesanan ibu dan ayah yang menjadi prinsip atau pegangan hidup Rose?
Mereka selalu berpesan supaya sentiasa berkongsi rezeki dengan orang lain dan jangan pernah kedekut untuk bersedekah. Selain itu, sentiasa lakukan sesuatu dengan memasang niat yang baik dan buat seikhlas hati.

Apakah antara kenangan manis dalam hidup Rose?
Berpeluang membawa ibu, ayah dan adik lelaki menunaikan umrah pada tahun lepas. Saya berasa sangat tenang. Selain itu, rezeki datang satu persatu dan hubungan kekeluargaan juga jadi bertambah erat.

Apakah cita-cita atau impian yang Rose ingin realisasikan?
Sebagai wanita, saya meminati bidang kecantikan dan kos­metik, jadi saya terfikir untuk hasilkan produk jenama sendiri.Berbekalkan pengalaman sebagai model dan ilmu dalam jurusan Pemasaran Perniagaan, saya harap dapat menjayakan bisnes itu suatu hari nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI