SEBERANG PERAI – Tindakan empat warga Myanmar yang bekerja di sebuah premis penghantar wang tanpa lesen bersembunyi di sebalik empat lapis pintu rahsia gagal apabila dicekup pihak berkuasa dalam operasi di sebuah pusat beli-belah di Bukit Mertajam di sini hari ini.
Mereka yang terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita berusia 20-an tersebut antara 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam Op Bersepadu kira-kira pukul 3.30 petang.
Kosmo! yang mengikuti operasi itu mendapati binaan premis tersebut dibuat dengan perancangan rapi di dalam sebuah kedai runcit bagi mengaburi pihak berkuasa termasuklah dengan adanya beberapa pintu rahsia yang kelihatan seakan dinding.
Premis haram itu yang beroperasi di dalam sebuah kedai runcit turut dilengkapi sekurang-kurangnya lapan televisyen litar tertutup (CCTV) dipercayai bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut berhubung kegiatan itu termasuklah mengesan pemilik premis.
“Ia dipercayai melakukan kesalahan menjalankan perhidmatan penghantaran wang tanpa lesen dengan berselindung di sebalik kedai runcit.
“Dari segi tindakan pengubahsuaian pada premis itu, pihak Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan mengambil tindakan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa operasi itu hari ini.
Menurut Shafee, menerusi operasi itu, pihaknya berjaya menahan 16 lelaki warga Myanmar, dua wanita (Myanmar), empat lelaki (Nepal) dan tiga lelaki (Pakistan) berusia 18 hingga 49 tahun yang didapati tiada pengenalan diri yang sah.
“Ia sekaligus menafikan dakwaan bahawa banyak perniagaan di pusat beli-belah ini dikuasai warga asing kerana kebanyakan mereka yang ditahan adalah pengunjung yang datang membeli belah.
“Memang ada warga asing yang bekerja (di sini) tetapi dengan pemilik lesen yang sah,” katanya lagi.
Kes tersebut disiasat mengikut Sekyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.
Sementara itu, MBSP turut mengeluarkan masing-masing satu kompaun atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen yang dikeluarkan dan menggajikan warga asing. – K! ONLINE