fbpx

25 kru Vietnam ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bot nelayan Vietnam yang ditahan anggota APMM dalam Operasi Naga Timur dan Operasi Sejahtera. Foto: Ihsan APMM

Oleh IVAN AMIRUL

KOTA KINABALU – Seramai 25 kru bot nelayan asing berusia antara 18 hingga 50 tahun ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam Operasi Naga Timur dan Operasi Sejahtera semalam.

Dalam pemeriksaan sekitar pukul 4.45 petang itu, turut dirampas kira-kira empat tan ikan pelbagai jenis.

Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Mohd Rosli Abdullah berkata, bot nelayan Vietnam berkenaan ditahan pada kedudukan 29 batu nautika barat laut Pulau Mantanani.

“Bot nelayan berkenaan diperiksa dan ditahan oleh bot peronda APMM yang kebetulan membuat tinjauan di perairan Pulau Mantanani.

“Kita dapati terdapat bot nelayan asing sedang melakukan aktiviti menangkap ikan secara tunda ganding.

“Sebuah bot nelayan asing dipercayai Vietnam ditahan untuk tujuan pemeriksaan.

“Pemeriksaan awal mendapati 25 awak-awak termasuk tekong warga Vietnam berada dalam bot terbabit dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Mohd Rosli berkata bot terbabit juga tidak mempunyai sebarang dokumen atau kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia untuk menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut mendapati bot berkenaan membawa hasil tangkapan sebanyak empat tan ikan pelbagai jenis.

Bot dan awak-awak yang ditahan dan dibawa ke Jeti APMM di Sepanggar untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Ujian saringan COVID-19 juga dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia ke atas anggota bot peronda maritim dan semua kru bot nelayan Vietnam.

Kes disiasat mengikut Akta Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI