PUTRAJAYA – Seramai 352,649 orang guru di seluruh negara sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 setakat hari ini.
Perkara itu dikongsi Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Radzi berkata, jumlah itu mewakili 85.41 peratus guru di seluruh negara.
Beliau berkata, bagi anggota kumpulan pelaksana (AKP) pula, jumlah yang menerima sekurang-kurangnya dos pertama adalah seramai 52,256 orang AKP atau 77.69 peratus.
“Selain itu, seramai 54,930 orang pekerja perkhidmatan sokongan termasuk operator bas dan van sekolah yany mewakili 46.64 peratus turut menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
“Bagi guru kelas peperiksaan pula, seramai 84,995 orang atau 94.89 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin,” katanya.
Pada masa sama, Radzi menyeru kepada menyeru guru, AKP dan pekerja perkhidmatan sokongan yang masih belum menerima temujanji dos pertama vaksin atau belum mendaftar supaya mengambil tindakan segera untuk mendapatkan vaksin masing-masing.
Jelasnya lagi, perincian mengenai pemberian vaksin secara jumpa terus (walk-in) bagi kumpulan khas sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), termasuk keperluan dokumen sokongan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Radzi berkata, Pasukan Petugas Khas KPM -Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF)
kini sedang berusaha memastikan mereka yang berada dalam ekosistem pendidikan di sekolah menerima vaksin masing-masing.
“Marilah sama-sama kita menjayakan program vaksinasi negara bagi membawa Malaysia keluar daripada kemelut pandemik Covid-19,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929