ATHENS, Greece – Beribu-ribu pelancong dan penduduk dipindahkan, manakala asap serta abu tebal menyelubungi bandar Athens ketika kebakaran hutan marak di Greece hari ini tetapi hujan lebat membawa kelegaan kepada jirannya, Turki.
Sekurang-kurangnya 1,450 anggota bomba Greece bersama 15 pesawat berusaha untuk memadamkan api. Bantuan juga tiba dari beberapa negara lain, kata pihak bomba.
Kebakaran di Greece dijangka berterusan dengan angin kencang dan suhu tinggi mencecah 38 darjah Celsius diramalkan di beberapa rantau hari ini.
Setakat kelmarin, kawasan yang terbakar adalah 180 peratus lebih luas berbanding tempoh 2008 hingga 2020, demikian menurut Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah.
“Apabila kebakaran ini berakhir, kami akan membaiki kerosakan secepat mungkin,” kata Perdana Menteri, Kyriakos Mitsotakis hari ini.
Greece dan Turki berusaha untuk memadamkan kebakaran hutan dahsyat yang marak sejak lebih seminggu lalu ketika dua negara tersebut mengalami gelombang panas terburuk dalam tempoh beberapa dekad.
Pegawai dan pakar kaji telah mengaitkan cuaca panas melampau itu dengan fenomena perubahan iklim dunia.
Draf laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dilihat agensi berita AFP melabelkan rantau Mediteranian itu sebagai ‘titik panas perubahan iklim’ dan memberi amaran bahawa gelombang panas, kemarau dan kebakaran akan menjadi lebih sengit pada masa hadapan.
Kebakaran hutan itu telah mengorbankan dua orang di Greece termasuk Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Athens, Konstantinos Michalos.
Di negara jirannya, Turki, lapan orang terbunuh dan puluhan lagi dimasukkan ke hospital sejak kebakaran hutan berlarutan selama 10 hari.
Bagaimanapun, api terkawal selepas hujan lebat turun hari ini. – AFP