PETALING JAYA – Pusat peningkatan akademik dan pakar dalam membantu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), PTTI melangkah setapak lagi seiring dengan peredaran masa apabila muncul dengan aplikasi pembelajaran khas atas talian sendiri.
Majlis pelancaran aplikasi berkenaan berlangsung secara virtual di Hitman Studio di Shah Alam yang dirasmikan mentor usahawan terkenal, Datuk Wira Dr. Azizan Osman.
Tidak ketinggalan dihadiri ikon dan dutanya sendiri MK K-Clique selain artis popular seperti Zizan Razak, Nabila Razali, Iman Troye dan Tya Arifin.
Kehadiran aplikasi terbabit juga menjadi penanda aras baru seiring tuntutan semasa termasuk membiasakan norma baharu era pandemik COVID-19 saat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fana berkata, mereka tidak boleh terkebelakang dalam hal dan isu-isu pendidikan.
“Aplikasi pembelajaran atas talian ini dibangunkan staf PTTI sendiri sejak akhir tahun lalu. Kita berasakan selepas lebih lima tahun memacu dunia pendidikan terutama untuk calon SPM termasuk situasi tak terduga pandemik ini, perlu ada alternatif baru belajar yang tak terduga.
“Justeru lahirlah idea aplikasi ini. Kita juga mahu meneruskan kelangsungan membantu lebih ramai lagi pelajar SPM meningkatkan gred dan keputusan cemerlang secara atas talian,” katanya.
Tambah Cikgu Fana, aplikasi tersebut dilancarkan sebagai usaha untuk mewujudkan ruang pembelajaran khas bagi pelajar SPM.
“Kita yakin aplikasi ini mampu terus mencakna perubahan iklim pembelajaran semasa saat ini.
“Pelajar SPM juga boleh belajar secara atas talian menerusi aplikasi terbabit. Malah mereka juga dapat menonton ratusan video ulang tahun teknik dan skil belajar secara percuma,” katanya.
Menerusi pelancaran aplikasi itu juga pelajar SPM boleh melayari aplikasi www.MampuSkorSPM.com untuk memuat naiknya secara percuma.
“Pelajar juga boleh memuat turun aplikasi ini sama ada di App Store untuk pengguna Iphone atau Playstore (android).
“Ini masanya untuk pelajar SPM terutama calon peperiksaan itu mengakses ilmu dan dapat belajar percuma dengan aplikasi ini tak kira di mana saja anda berada,” ujarnya.
Ketika majlis berlangsung selain video perasmian aplikasi itu ditayangkan, penerangan mengenai ciri ciri yang dibina dalam aplikasi turut dilakukan.
MK serta artis lain turut berkongsi pandangan dan pujian mengenai muat turun dan penggunaan aplikasi terbabit serta berinteraksi dengan Pengurus Besar PTTI, Muhd. Habibunajjar Sazali. – K! ONLINE