fbpx

Lelaki cedera diserang akibat salah faham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video memaparkan teman lelaki wanita itu menyerang mangsa dan rakan sekerja, di lokasi kejadian semalam.

GOMBAK – Akibat salah faham, seorang pekerja kedai serbaneka cedera selepas diserang lelaki tempatan di hadapan kedai serbaneka, Taman Perwira, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pukul 1.30 tengah hari ketika mangsa bersama seorang rakan sekerja sedang berehat di hadapan premis itu.

“Secara tiba-tiba mangsa terlihat seorang wanita warga tempatan berdiri di tepi kedai berkenaan lalu menegurnya agar mencari tempat teduh kerana cuaca panas.

“Wanita itu kemudiannya mengadu kepada teman lelakinya menyebabkan lelaki itu naik angin lalu meluru ke arah mangsa dan menyepak kepala dan menendang rakan mangsa di bahagian dada sebelum beredar,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa yang berusia 20 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian dada manakala rakannya tidak mengalami sebarang kecederaan dan kedua-duanya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati kejadian disyaki berpunca daripada salah faham antara mangsa dan teman lelaki wanita tersebut,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera.

Terdahulu, klip video berdurasi satu minit satu saat itu tular di laman sosial memaparkan dua pekerja kedai serbaneka secara tiba-tiba diserang dan disepak oleh seorang individu. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI