PUTRAJAYA – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan bekerjasama dengan Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menyediakan bantuan kewangan sejumlah RM1 juta kepada Pusat Sehenti Sementara, Hospital Kuala Lumpur (PUSARA HKL) untuk pengurusan mayat warga tempatan selain Islam.
Ia berikutan beberapa isu termasuk keupayaan kewangan untuk membayar kos perkhidmatan pengurusan mayat khususnya dalam kalangan B40 yang dikenal pasti menjadi punca kelewatan pengurusan mayat di PUSARA HKL selain kekurangan sumber manusia bagi menguruskan mayat termasuk urusan penyelarasan dengan waris.
KPN dalam satu kenyataan berkata, bantuan kewangan itu meliputi RM500,000 di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bagi pengurusan mayat kaum India.
Katanya, ia turut meliputi bantuan RM500,000 di bawah Program Pembangunan Kampung Baru bagi pengurusan mayat kaum Cina yang diharap dapat membantu meringankan beban kewangan waris B40.
“Kementerian turut menjalinkan kerjasama dengan dua badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Malaysian Society for Disaster Victim Identification (MSDVI) dan Yayasan Prihatin Wilayah (PRIVO) melibatkan 60 orang sukarelawan bagi membantu melicinkan urusan logistik di pihak PUSARA HKL,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berharap melalui insiatif itu akan dapat membantu PUSARA HKL dalam pengurusan mayat warga tempatan selain Islam yang berada di dalam penyimpanan bilik mayat.
Beliau terdahulu turun padang meninjau sendiri PUSARA HKL pada hari Khamis lalu bagi memahami keadaan sebenar operasi pusat itu dalam menguruskan mayat warga tempatan bukan Islam. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929