SEBERANG PERAI – Tiada sebarang laporan kejadian bendera Jalur Gemilang yang dipasang terbalik dilaporkan di daerah Seberang Perai Selatan seperti yang tular di media sosial hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, gambar viral yang memaparkan Jalur Gemilang dipasang terbalik di sebuah sekolah di Simpang Ampat, Nibong Tebal adalah gambar lama yang ditularkan semula.
“Itu kejadian lama dan tiada kejadian terkini.
“Gambar itu dipercayai dirakam pada Februari lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Terdahulu tular sekeping gambar di media sosial hari ini yang memaparkan sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Simpang Ampat memasang Jalur Gemilang secara terbalik. – K! ONLINE