BARCELONA – Bandaraya Barcelona seakan suram selepas kelab gergasi La Liga, Barcelona gagal mencapai kata sepakat dengan kapten pasukan, Lionel Messi mengenai tawaran kontrak baharu.
Sebagai rekod, kontrak Messi bersama The Catalans telah berakhir pada Jun lepas dan pasukan kendalian Ronald Koeman itu sudah pun menawarkan kontrak baharu buatnya.
Namun, tuntutan gaji terlalu tinggi yang diminta oleh penyerang antarabangsa Argentina itu menjadi penghalang terutama apabila kelab Barcelona sudah pun melanggar had ekonomi dan struktur kewangan yang ditetapkan La Liga.
Seorang penyokong setia Barcelona, Joan Fuster menganggap perasaan kehilangan Messi dalam skuad utama pasukan sama seperti kematian ahli keluarga yang terdekat.
“Saya rasa bagaikan tidak bernyawa selepas mengetahui tiada harapan lagi untuk Messi menyarung jersi Barcelona musim depan.
“Secara jujur, saya tidak dapat bayangkan Messi bakal sarung jersi pasukan lain dan ia adalah perasaan yang sukar digambarkan kerana saya cukup sedih sama seperti kehilangan keluarga tersayang,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk tempatan, Meritxell Reus percaya penghijrahan pemain berusia 34 seperti sudah dirancang awal oleh kedua-dua pihak.
“Saya cuba bersikap realistik kerana Messi sudah berusia dan tidak lagi di kemuncak karier. Sudah tentu dia mahu berhijrah kerana mendapat tawaran gaji yang tidak setimpal di Barcelona.
“Dia bukanlah pemain setia seperti yang anda sangka kerana apa yang diutamakan hanyalah duit,” kata Reus. – AGENSI