Oleh NOR AZIHAN MD. GHAZALI
KLANG – Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas terbabas sebelum merempuh tiang lampu di Jalan Iskandar berdekatan Jalan Durian, Meru di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu, mangsa berusia 56 tahun meninggal dunia akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha R1 seorang diri dalam perjalanan ke Meru Tambahan dari Bukit Kapar.
“Siasatan awal mendapati mangsa hilang kawalan sebelum motosikal ditungganginya terbabas lalu merempuh tiang lampu di tepi jalan.
“Rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak beberapa meter sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini bagi bedah siasat.
Nurulhuda menegaskan, pihaknya meminta mana-mana individu yang menyaksikan kejadian tersebut tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE