fbpx

Peguam rugi RM260,000 diperdaya Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SEBERANG PERAI – Seorang peguam sebuah syarikat guaman di Bukit Mertajam di sini berputih mata apabila kerugian hampir RM260,000 dipercayai akibat diperdaya sindiket Macau Scam baru-baru ini.

Mangsa berusia 40 tahun itu dikatakan mula terjerat dalam sindiket berkenaan selepas menerima panggilan telefon ketika di rumahnya di Sungai Petani, Kedah pada Rabu lalu kononnya daripada pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Asisten Komisioner Mohd. Rosni Mohd. Lazim berkata, menerusi panggilan itu, suspek lelaki mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM32,000 susulan pembukaan sebuah syarikat di Melaka.

Menurut Mohd. Rosni, mangsa menafikan perkara tersebut sebelum panggilan disambungkan kepada dua pegawai polis kononnya untuk menerangkan penglibatannya kononnya dalam kes jenayah berkaitan dadah.

“Ketika berbual dengan suspek ketiga yang memperkenalkan diri sebagai Asisten Komisioner Koh Fei Chew, mangsa diperdaya dengan alasan mampu membersihkan namanya sebelum diarahkan membuat pemindahan wang berjumlah RM259,900.

“Mangsa yang terpedaya kata-kata suspek telah membuat transaksi pindahan wang secara berperingkat ke dalam tiga akaun bank berbeza sebelum menyedari ditipu dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di Bukit Mertajam semalam,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah Mohd Rosni, semakan pihaknya ke atas nombor akaun sebuah bank yang diberikan oleh suspek mendapati ia dipercayai milik keldai akaun.

“Tiada laporan polis setakat ini berhubung nombor akaun itu, namun nombor telefon yang digunakan sindiket bersangkut tiga laporan di Dato Keramat dan Bukit Mertajam serta di Nilai, Negeri Sembilan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseskaan iaitu menipu. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI