fbpx

Rumah jadi stor rokok seludup diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rokok seludup yang dirampas setelah menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Kampung Kuala Slim, Slim River semalam. /FOTO IHSAN PDRM

TANJUNG MALIM – Seorang peniaga berputih mata apabila tidak sempat mengaut keuntungan jualan rokok seludup setelah diberkas polis di sebuah rumah di Kampung Kuala Slim, Slim River, dekat sini semalam.

Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim pada pukul 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, dalam tangkapan itu, 297 karton rokok pelbagai jenama ditemui dengan nilai keseluruhan berjumlah RM12,839.

Katanya, siasatan mendapati, lelaki yang juga peniaga itu menjual rokok seludup sejak setahun lalu dengan menjadikan rumahnya sebagai tempat penyimpanan.

“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti dari mana rokok seludup itu diperoleh.

“Kita juga sedang menyiasat cara dan laluan yang digunakan suspek untuk membawa rokok itu ke daerah Muallim,” katanya.

Lelaki itu direman tiga hari untuk siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. -K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI