fbpx

8 jam dibedah otak, pelakon Izuan Fitri kini stabil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Keadaan pelakon remaja, Mohd Izuan Fitri, 19, yang selamat menjalani pembedahan pada bahagian otak di Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam semakin menunjukkan perkembangan positif.

Ibunya, Nor Abdul Rani berkata, buat masa ini mereka sekeluarga hanya mengharapkan doa supaya anak bongsu daripada tujuh bersaudara itu dapat sedarkan diri semula.

“Alhamdulillah pembedahan adik (Izuan) yang mengambil masa hampir lapan jam sudah berakhir. Adik mengharungi saat getir namun dapat melepasi fasa itu.

“Terima kasih Ya Allah atas kasih sayang Mu, memberikan adik kekuatan dalam perjuangan. Kau berikanlah keajaiban untuk semangat adik supaya cepat sedar.

“Terima kasih tidak terhingga buat teman yang tidak putus mendoakan. adik. Tetaplah dengan doa semoga adik dapat melawan segala kesakitan.

“Maafkan saya andai semua komen tidak mendapat maklum balas. Dalam keadaan sekarang saya tidak sempat membaca, jika hati tenang saya akan balas. Minta terus doakan,” luahnya menerusi Facebook.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan bintang One Two Jaga dan Munafik itu bertarung nyawa di Hospiral Selayang setelah tidak sedarkan diri sejak 31 Julai lalu selepas diserang sawan berikutan penyakit batuk kering yang dihidapi.

Abang kembarnya, Izuan Fikri, 19, memaklumkan adiknya yang dikejarkan ke hospital selepas diserang sawan dan tidak sedarkan diri seperti orang tidur namun masih memberikan reaksi jika disentuh.

Keadaan itu disebabkan kuman tibi atau batuk kering yang dideritai sejak dua tahun lalu sudah merebak sehingga menyerang bahagian otaknya.

Ketika itu, abang pelakon berkenaan mendedahkan keputusan doktor sama ada meneruskan pembedahan yang berisiko tinggi atau sekadar meneruskan ubat bergantung kepada imbasan CT-Scan.

Rata-rata kenalan keluarga dan tidak ketinggalan rakan seperjuangan dalam industri seni mendoakan keadaan Izuan dapat kembali stabil seterusnya pulih seperti sediakala.

Sepanjang pembabitan dalam arena lakonan, pelakon Butak yang berjinak-jinak dalam dunia lakonan sejak kanak-kanak itu dihormati dan dipuji pelakon lain berikutan bakat luar biasanya.

Sebelum ini dia pernah menjulang meraih trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Anugerah Skrin (ASK) TV3 pada 2015 dan Pelakon Kanak-Kanak TV Terbaik, Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2016. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI