PETALING JAYA – Selebriti terkenal, Neelofa mengajak orang ramai memanjatkan doa agar rakan penyanyi Siti Sarah Raisuddin, 36, diberikan kesembuhan dan kekuatan bertarung dengan wabak Covid-19.
Neelofa atau nama lengkapnya, Noor Neelofa Mohd. Noor memaklumkan perkara itu menerusi muat naik status dalam laman Facebooknya sebentar tadi.
“Salam Jumaat. Pada hari yang penuh kemuliaan ini, saya nak mengajak semua, untuk sama-sama mendoakan rakan saya, Siri Sarah Raisuddin dan seluruh rakyat Malaysia khususnya yang sedang berjuang menentang Covid-19 agar segera sembuh dan kuat semangat.
“Semoga doa kita smeua diperkenankan. Insya-Allah,” ujar Neelofa.
Berita berkaitan: Tahap oksigen menurun, Siti Sarah dikejarkan ke hospital
Selain Neelofa, ramai rakan artis lain termasuk Mark Adam, Zanarul Hisyam, Zalif Sidek, Sari Yanti, Jep Sepahtu dan pengarah, Shahrulezad Mohameddin turut mengajak orang ramai memanjatkan doa agar Siti Sarah serta anak dalam kandungannya diberikan kesembuhan melawan virus maut tersebut.
Dalam pada itu, satu bacaan Yassin dan doa secara maya menerusi pautan https://meet.google.com/fzk-zatr-hng untuk penyanyi tersebut telah diadakan tengah hari ini diketuai oleh pendakwah bebas, Imam Muda Asyraf.
Berita berkaitan: Siti Sarah belum stabil, bernafas guna mesin – Shuib
Pagi tadi, suami Sarah, Shuib memberitahu, isterinya yang sedang sarat mengandung tujuh bulan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) berikutan tahap oksigen yang semakin tidak stabil akibat jangkitan Covid-19.
Selasa lalu, Siti Sarah dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras berikutan tahap oksigen yang semakin menurun akibat virus Covid-19.
Berita berkaitan: Siti Sarah dimasukkan ke ICU
Sarah dan Shuib sekeluarga disahkan Covid-19 sejak 25 Julai lalu. Mereka sekeluarga menjalani ujian saringan selepas pembantu rumah disahkan positif virus maut tersebut.
Sarah dan Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, berkahwin pada 2011, memiliki tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6. – K! ONLINE.