OMSK, RUSIA – Seorang wanita di Rusia menyaman McDonald’s kerana menyebabkan dia berbuka puasa akibat tidak tahan melihat iklan rangkaian restoran makanan segera itu memaparkan gambar burger yang menyelerakan, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Ksenia Ovchinnikova yang merupakan penganut Kristian Orthodox dalam kejadian pada April 2019 itu dilaporkan sedang berpuasa yang melarang penganutnya daripada makan daging atau produk berasaskan haiwan.
Dalam aduannya, wanita berkenaan dilaporkan tidak memakan sebarang jenis daging selama sebulan.
Bagaimanapun, ketika dia berjalan di bandar Omsk, dia terlihat papan iklan memaparkan menu burger keju McDonald’s dan Chicken McNuggets dalam keadaan yang menyelerakan.
Meskipun berjaya berpuasa penuh ketika upacara puasa Lent sejak 16 tahun lepas, Ovchinnikova tidak mampu melawan keinginannya untuk menikmati menu tersebut, lantas dia pergi ke restoran McDonald’s terdekat serta memesan burger buat dirinya.
Ovchinnikova kemudiannya berasa menyesal atas kelemahan dirinya, lantas menyalahkan iklan tersebut.
“Pada ketika itu, saya telah berpuasa selama sebulan, namun apabila saya terlihat iklan McDonald’s tersebut, saya tidak mampu menahan diri daripada membeli Cheeseburger.
“Dalam kejadian itu, saya melihat berlakunya pencabulan ke atas undang-undang perlindungan pengguna.
“Justeru, saya memohon mahkamah untuk menyiasat dan sekiranya pelanggaran undang-udang didapati berlaku, saya meminta wang pampasan daripada McDonald’s untuk kerosakan moral berjumlah 1,000 ruble (RM58),” tulis Ovchinnikova dalam kenyataannya.
Menurut sumber mahkamah, tarikh bagi perbicaraan awal kes itu bagaimanapun masih belum ditetapkan. – AGENSI