KUALA LUMPUR- Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersetuju menyertai Muafakat Nasional (MN) bagi menjalankan kerjasama politik antara UMNO dan Pas.
Presidennya,Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dengan menyertai MN yang mendokong Perikatan Nasional (PN) akan menjadikan Bersatu berada dalam gabungan besar.
Menurutnya, keputusan itu merupakan pilihan terbaik untuk parti selain akan memuktamadkan penyertaan Bersatu di dalam MN pada masa yang terdekat.
“Saya percaya inilah pilihan terbaik untuk Bersatu. Kita memilih untuk berada dalam satu jemaah besar yang menghimpunkan parti-parti utama di negara kita.
“Dengan terbentuknya penyatuan antara Bersatu, UMNO, Pas dan parti-parti lain dalam kerajaan PN, sebahagian besar sokongan rakyat sudah pun berada di pihak kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena persidangan Angkatan Muda Bersatu (ARMADA), Srikandi dan Bahagian Bersatu melalui laman sosial Facebook di sini tadi. – K! ONLINE