BAGI atlet olahraga mewakili Pasukan Pelarian Olimpik (EOR), Rose Nathike Lokonyen di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, sukan adalah segalanya kerana ia memberi semangat dan harapan kepada dirinya untuk terus berjaya.
EOR merupakan sebuah pasukan ditubuhkan oleh Jawatakuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang disertai atlet-atlet pelarian dari seluruh dunia.
Ini bukanlah penglibatan pertama Lokonyen dalam Olimpik, bahkan wanita itu turut diberi penghormatan sebagai pembawa bendera dalam kemunculan pertama EOR pada Sukan Olimpik Rio, Brazil lima tahun lalu.
Pelari berusia 26 tahun itu menganggap penyertaan pada dua pentas Sukan Olimpik itu sebagai satu pencapaian luar biasa dalam perjalanan kariernya biarpun berstatus pelarian.
Menelusuri perjalanan hidupnya, pada usia 10 tahun, Lokonyen terpaksa melarikan diri daripada perang saudara yang berlaku di kampung halamannya, Sudan Selatan.
Sewaktu rejim militan bersenjata menawan desanya, seluruh ahli keluarganya berjalan kaki ke kem pelarian Kakuma di selatan Kenya.
Ketika berada di kem pelarian berkenaan, Lokonyen bergiat aktif dengan aktiviti larian tanpa mengetahui ‘sejauh mana dia mampu pergi’ dalam acara tersebut.
Siapa sangka, dia berjaya melakar sejarah apabila terpilih bertanding dalam acara 800 meter (m) pada Sukan Olimpik 2016 di Rio dengan mewakili EOR.
Pada temasya Olimpik kali ini di Tokyo, Jepun, dia bersaing dalam acara larian 800m pada saringan kedua sebaris atlet hebat, Natoya Goule dari Jamaica.
Lokonyen berlari dengan baik apabila mencatatkan masa 2:11.87, peningkatan ketara berbanding 2:16.64 yang dilakukan di Rio.
Malangnya, catatan masa itu masih belum cukup melayakkannya ke peringkat separuh akhir.
Perjalanan karier gadis itu dalam acara larian bukanlah mudah, dia perlu melakukan sesuatu yang luar biasa untuk sampai ke peringkat tertinggi.
Dia terpaksa berlari tanpa memakai sepatu di kem pelarian sebelum bakatnya dikesan dalam satu pertandingan pada tahun 2015.
Berbekalkan bakat serta kerja keras, dia akhirnya terpilih menjalani latihan di Pusat Latihan Pelarian Tegla Loroupe di ibu kota Kenya, Nairobi.
Ketika giat menjalani latihan bagi persiapan temasya Tokyo 2020, pusat latihan berkenaan terpaksa ditutup ekoran pandemik Covid-19.
Disebabkan itu, Lokonyen tidak mempunyai pilihan lain selain kembali ke kem pelarian di Kakuma yang menempatkan hampir 200,000 orang pelarian.
“Kem Kakuma umpama rumah kepada saya, di situlah ahli keluarga saya tinggal. Jadi, tidak ada tempat lain untuk saya pergi selain kembali ke situ.
“Berlatih di Kakuma sangat mencabar kerana cuaca sangat panas. Saya tidak dapat berlatih dengan konsisten selama hampir sembilan bulan di sana,” katanya.
Walaupun begitu, dia tetap positif bagi memberi inspirasi kepada semua orang di sekelilingnya terutamanya para pelarian di kem berkenaan.
“Kami (pelarian) berasa seperti manusia. Kami juga boleh melakukan apa yang orang lain buat. Pelarian hanyalah status dan ia tidak bermakna hidup anda sudah berakhir.
“Selagi ada kemahuan, anda boleh mencapai apa saja yang diinginkan. Penglibatan saya pada temasya Olimpik secara tidak langsung mendorong kanak-kanak di kem pelarian untuk terlibat dengan acara sukan,” katanya.
Seorang atlet EOR lelaki, Dorian Keletela, 22, pula sempat mencuri perhatian pada Olimpik Tokyo apabila berjaya menduduki tempat pertama acara larian 100 meter dalam salah satu saringan kelayakan.
Keletela yang merupakan atlet kelahiran Republic of Congo menjadi pelarian di Portugal sewaktu remaja setelah kedua-dua ibu bapanya terbunuh dalam konflik berdarah di negara kelahirannya.
“Saya benar-benar bangga dengan pencapaian ini dan pasukan ini. Ia memberi kekuatan untuk saya terus berusaha. Anda boleh melakukan apa sahaja sama ada anda seorang pelarian atau tidak,” katanya selepas mencatatkan masa larian 10.33 saat. Dia bagaimanapun kecundang pada pusingan seterusnya.
Penyertaan Lokonyen dan Keletela pada temasya Olimpik telah berjaya mengibarkan bendera kebanggaan yang mewakili jutaan pelarian di seluruh dunia.
Mereka berdua merupakan antara 29 atlet yang mewakili EOR pada temasya Tokyo 2020 dalam 12 acara sukan.
Ia menunjukkan peningkatan ketara berbanding hanya 10 atlet mewakili EOR di Rio.
Antara acara yang disertai oleh atlet EOR di Tokyo 2020 adalah renang, larian, menembak, badminton, tinju, kanu, berbasikal, judo, karate, angkat berat dan taekwondo.
Atlet berbasikal, Masomah Ali Zada pula menyifatkan penyertaannya di Tokyo 2020 sebagai satu kejayaan besar melawan rasa ketidaktentuan.
Atlet berusia 25 tahun itu dilahirkan di Afghanistan, negara yang tidak menggalakkan perempuan berbasikal, sebelum menjadi pelarian di Perancis pada tahun 2017.
Kisahnya menjadi inspirasi kepada berjuta-juta wanita dan pelarian di seluruh dunia bahawa setiap impian dapat dicapai.
“Saya sangat bangga dapat mewakili EOR. Saya ingin menunjukkan kepada dunia bahawa wanita bebas melakukan apa saja yang mereka inginkan,” ujarnya.
Penyertaan atlet pelarian di Rio telah mendorong kepada pembentukan Yayasan Pelarian Olimpik (ORF) pada September 2017 sebagai salah satu usaha IOC untuk menyokong aktiviti sukan dalam kalangan pelarian.
Semasa acara pembukaan Olimpik, EOR diletakkan sebagai kontinjen kedua selepas Greece ketika acara perbarisan bagi menunjukkan semangat kemanusiaan kepada masyarakat dunia.
Presiden IOC, Thomas Bach turut memuji pasukan EOR sewaktu ucapan perasmian Olimpik Tokyo 2020 dengan menyifatkan mereka sebagai atlet terhormat.
“Dengan bakat dan semangat, anda (atlet) menunjukkan betapa tingginya semangat pelarian kepada masyarakat dunia. Anda terpaksa melarikan diri dari rumah atas faktor keganasan, kelaparan atau disebabkan perbezaan anda.
“Hari ini, kami menyambut anda dengan tangan terbuka dan menawarkan rumah yang damai kepada anda. Selamat datang ke komuniti Olimpik kami,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian.
Menurut satu kenyataan media oleh IOC, para atlet EOR dipilih dan disokong menerusi program Biasiswa Olimpik yang disumbangkan oleh 21 buah negara penganjur Olimpik seperti Amerika Syarikat, Jerman dan Australia.
Program itu memberikan geran kepada 56 atlet menerusi sokongan kewangan dan kemudahan latihan bagi menghadapi Sukan Olimpik.
IOC menjelaskan, pemilihan atlet dibuat berdasarkan beberapa kriteria seperti prestasi semasa serta status pelarian mereka perlulah disahkan oleh Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).
“Latar belakang peribadi serta representasi yang seimbang dari segi sukan, jantina dan wilayah juga menjadi pertimbangan kami dalam pemilihan atlet,” ujar kenyataan tersebut.
Bagaimanapun, dalam kedua-dua edisi Olimpik ini, EOR masih belum mendapat sebarang pingat. Atlet taekwondo, Kimia Alizadeh merupakan peserta paling hampir memenangi pingat di Tokyo 2020.
Atlet kelahiran Iran dan kini pelarian di Jerman tewas pada pertarungan separuh akhir serta perebutan pingat gangsa.
“Ia akan menjadi satu pencapaian yang luar biasa yang memberi pengharapan kepada seramai 82.4 juta pelarian dan gelandangan di seluruh dunia. Ini juga merupakan pasukan mereka,” katanya ketika mengulas mengenai erti sebutir pingat bagi EOR.