PETALING JAYA – Pelakon Aprena Manrose enggan mengambil serius mengenai dakwaan dia melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan menziarahi kubur arwah ibunya kelmarin.
Aprena atau nama sebenarnya, Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman berkata, dia malas melayan komen-komen negatif yang ditinggalkan di Instagramnya yang dikatakan bertujuan hanya untuk mencari kesalahannya.
“Netizen memang macam itu (cari salah). Benda betul pun jadi salah. Kalau salah, apatah lagi. Lagipun itu gambar lama sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 lagi.
“Saya pun tahu dan patuh SOP yang ditetapkan. Takkan saya nak langgar sesuka hati,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Kelmarin, Aprena, 28, dikecam dan dipersoal pengikutnya selepas memuat naik sekeping gambar yang memaparkan dia menziarahi kubur arwah ibunya yang juga pelakon era 1980-an, Rasnah Mohd. Noor.
Arwah Rasnah meninggal dunia pada 2013.
“Assalamualaikum. Hari ini (kelmarin) genap lapan tahun mama pergi meninggalkanku. Cepatnya masa berlalu.
“Bergambar di kubur pun jadilah, asalkan dapat lepas rindu. Bila boleh pergi kubur lagi ni,” tulisnya berserta gambar memegang batu nisan di kubur arwah ibunya.
Dalam hantaran sama, pelakon drama Tiada Arah Jodoh Kita itu turut meminta pengikut dan peminatnya menitipkan doa serta bacaan al-Fatihah buat arwah.
Bagaimanapun, meninjau di ruangan komen, terdapat beberapa pengguna media sosial itu mempersoalkan tindakannya yang dikatakan secara jelas melanggar SOP PKP.
“Boleh ke ziarah kubur? Polis tak kompaun ke? Ke sebab dia selebriti,” tulis seorang pengikut. -K! ONLINE