fbpx

Jadi jahat, laluan populariti Rita Nadira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RITA NADIRA

BARU memulakan pelayaran sejak tiga setahun lalu, nama si tinggi lampai Rita Nadira sudah mula meniti di bibir peminat drama tempatan.

Mekar dengan karakter Melissa dalam drama Tak Sempurna Mencintaimu, aktres berusia 24 tahun itu kembali menuai perhatian ramai menerusi watak Mazni menerusi karya hebat Ayahanda yang sudah melabuhkan tayangannya baru-baru ini.

Biarpun namanya masih hijau, namun bakat besar yang ditonjolkan dalam beberapa naskhah sudah berjaya membuka mata banyak, terutama sebagai pemegang watak antagonis.

Tidak keterlaluan sekiranya melabelkannya sebagai pelapis pelakon wanita antagonis yang sebelum ini sangat sinonim dengan beberapa nama besar seperti Didie Alias dan Lana Nodin.

MENGAMBIL nasihat daripada pelakon-pelakon senior, sabar dan kekal kuat merupakan kunci utama untuk seseorang selebriti terus bertahan dalam industri seni dalam tempoh yang lama.

Antagonis pun okey

Sekali lagi diberi peluang menjayakan watak antagonis, Rita tetap bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Tuhan ketika ini.

“Mungkin inilah rezeki saya buat masa ini,” tuturnya memulakan bicara kepada HibGlam tentang kekerapan dipertanggungjawabkan menjayakan karakter antagonis.

Akui bekas model itu, dia turut menerima banyak persoalan daripada peminat yang bertanyakan perkara serupa.

“Sebelum ini saya bawa watak jahat iaitu wanita penggoda, psiko dan adu domba tetapi dalam Ayahanda, antagonisnya jenis lain iaitu seorang batu api serta isteri yang talam dua muka.

“Selain jenis karakter, impaknya juga lain. Memang ada yang mengecam tetapi dalam masa sama ramai juga simpati dengan Mazni kerana pengakhiran nasibnya yang dimadukan,” jelasnya.

Enggan dikenali sebagai aktres cerewet kerana memilih watak, Rita berlapang dada dengan semua tawaran yang diraihnya ketika ini walaupun berulang kali diberikan watak jahat.

“Saya terbuka walaupun beberapa kali sudah menjayakan watak jahat. Mungkin juga pengarah percaya dengan kebolehan saya atau juga disebabkan rupa paras saya yang nampak garang.

“Namun, saya tetap menanti peluang untuk menjayakan selain watak jahat. Saya juga mahu melihat diri saya daripada sisi berbeza dalam karya-karya lain,” ujarnya yang tidak menolak kenyataan bahawa karakter antagonis antara tiket segera untuk dikenali ramai.

Berpeluang menempatkan diri dalam sebuah karya dengan barisan pelakon handalan juga antara satu pengalaman paling berharga buat pendatang baharu seperti Rita.

Ulasnya dengan nada teruja, berlakon dengan nama-nama besar seperti Jalil Hamid, Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy), Noorkhiriah dan Fikry Ibrahim ialah durian runtuh buat dirinya.

“Sangat seronok sampaikan tiada perkataan untuk menggambarkan perasaan saya. Terlalu baik dan tidak kedekut ilmu, itulah mereka ketika di set penggambaran.

“Mereka memiliki satu aura yang luar biasa. Komitmen mereka terhadap kerja memang tidak perlu dipertikaikan lagi, teramat hebat. Sangat kagum,” ujarnya yang pernah mengikuti kelas lakonan bersama Ogy.

RITA berharap akan segera menyambung semula penggambaran drama Jamu Nesan terbitan Darkwave Pictures Sdn. Bhd. sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

Kena rajin

Diberi peluang bersuara tentang isu pendatang baharu yang kerap dikecam kerana kualiti kerja, Rita bagaimanapun enggan meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak.

Sebagai pelakon yang baru hendak membina tapak dalam industri, dia percaya isu tersebut tidak timbul sekiranya tidak ditimbulkan oleh sesiapa.

“Saya tak mahu salahkan mereka (pelakon senior) kerana mereka juga punya hak untuk menyuarakan apa yang terbuku dalam hati.

“Namun, janganlah menghentam keterlaluan sehingga mengganggu emosi seseorang.

“Kadang-kadang kita tidak sedar apa yang dituturkan boleh beri kesan terhadap mental orang lain sehingga bertukar menjadi depresi. Sebaiknya elakkan mengkritik dengan cara terlalu kasar,” katanya lagi.

Rita juga berpendapat pendatang baharu termasuklah, pelakon atau penyanyi seharusnya diberikan peluang untuk menerokai dengan lebih dalam bakat yang dimiliki.

“Sebenarnya sudah ramai pengarah dan penerbit yang memberi peluang kepada pendatang baharu untuk menjayakan karya-karya terbitan mereka. Ramai yang bagus sebenarnya,” kongsinya.

Biarpun dirinya juga masih hijau, dia turut menitipkan pesan agar barisan pelakon baharu tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh merosakkan imej dan reputasi mereka.

“Sebagai pelakon baharu, jagalah disiplin, kumpul ilmu dan belajarlah daripada pengalaman.

“Saya juga dapat banyak nasihat daripada pelakon-pelakon senior. Kebanyakan mereka meminta saya untuk banyakkan bersabar dan menghadapi setiap cabaran mendatang,” kongsinya lagi.

AKTRES tinggi lampai yang juga seorang model ini memulakan kerjayanya sekitar tahun 2019 menerusi drama Kisah Seram Hostel yang turut dibintangi Janna Nick dan Wafariena.

‘Gerun’ dengan netizen

Selain menjaga disiplin, mengawal dan tidak terlalu berkongsi banyak perkara dalam media sosial juga antara pendekatan yang dilakukannya sebagai anak seni.

Hal tersebut berlaku kerana terdetik rasa takut dengan sikap netizen yang semakin ‘mengganas’ ketika ini.

“Ya, sebagai pelakon baharu, saya takut dengan keberanian netizen hari ini sebab apa yang mereka katakan boleh mengubah kehidupan seseorang. Buat silap sikit pun boleh viral.

“Namun, sebagai seorang selebriti, melihat kepada situasi semasa, saya tidak meletakkan kesalahan 100 peratus kepada netizen kerana mungkin ada sebab perkara sebegitu dilakukan, ” ujarnya.

Tambah pelakon yang pernah menjalin hubungan cinta dengan aktor Ezzrin Loy itu, dia juga berusaha untuk tidak melakukan sebarang kesilapan yang boleh mengheret diri menjadi mangsa kecaman netizen hari ini.

“Saya cuba mengawal atau menghindar diri daripada melakukan kesilapan dan mempertontonkannya kepada umum supaya tidak dilemparkan kata-kata negatif.

“Saya okey sekiranya mereka kecam saya seorang tetapi jika melibatkan keluarga dan insan tersayang, itu sudah melampaui batas. Harapnya perkara ini dijauhkan,” tuturnya lagi.

Dia juga berharap mampu mengelak daripada terjebak kontroversi yang boleh mencalarkan imejnya sebagai seorang pelakon.

“Insya-Allah saya sentiasa berdoa agar Tuhan berikan kekuatan untuk terus hadapi apa sahaja yang mendatang selepas ini,” tutup Rita.

RITA bersyukur kerana masih mampu menampung perbelanjaan diri dengan menggunakan wang simpanannya hasil pendapatan sebelum ini untuk meneruskan hidup sepanjang pandemik. – Foto ihsan The Picsxel (IG @@thepicsxel)
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI