fbpx

Hospital sesak teruk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEBERAPA pesakit Covid-19 terbaring di pintu masuk wad kecemasan ekoran kesesakan yang berlaku di HTAR baru-baru ini.

PUTRAJAYA – Hospital-hospital di Lembah Klang berada kini dalam keadaan sesak apabila jumlah kemasukan pesakit baharu Co­vid-19 mencatat angka melebihi 1,000 orang setiap hari iaitu melonjak lebih 33 peratus berbanding dua minggu lalu.

Lebih memburukkan keadaan apabila jumlah mereka yang dijangkiti Covid-19 setiap hari semakin ramai dengan jumlah pa­ling tinggi direkodkan semalam ialah sebanyak 20,596 kes.

Keadaan itu menyaksikan katil-katil sedia ada tidak mencukupi bagi menampung jumlah pesakit termasuk di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang kini merawat 659 pesakit di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Perkembangan menakutkan itu menimbulkan rasa resah dalam kalangan rakyat lebih-le­bih lagi ketika kes jangkitan yang semakin meningkat di Lembah Klang setiap hari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, setakat semalam terdapat 6,427 pesakit berada dalam hospital dan seramai 2,685 pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Katanya, sistem papan pemuka hospital Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) juga menunjukkan bilangan pesakit yang menunggu bagi mendapatkan rawatan di luar Jabatan Kecemasan dan Trauma adalah tinggi.

“Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley telah mengambil beberapa langkah termasuk mewujudkan katil tambahan termasuk hospital medan di luar kawasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

“Keadaan yang sama juga dilakukan di Hospital Selayang dan Hospital Serdang selain mempertingkatkan kapasiti di PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) untuk pesakit yang memerlukan rawatan oksigen,” katanya dalam satu kenya­taan semalam.

SEORANG petugas perubatan merekodkan kemasukan pesakit Covid-19 di PKRC Maeps, Serdang baru-baru ini.

Tambahnya, Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia turut berfungsi sebagai hospital Covid-19.

Menurut Dr. Noor Hisham, jumlah katil hospital ditambah sebanyak 2,884 sejak dua minggu lalu di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selain jumlahnya dijangka meningkat lagi melalui langkah yang sedang dilaksanakan.

“Kadar vaksinasi di Lembah Klang juga akan terus dipercepatkan bagi mengurangkan pesakit yang dijangkiti dengan gejala serius,” katanya.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Selangor berkata, seramai 2,254 individu sedang dikuarantin di PKRC Maeps.

“Maeps mempunyai 3,946 katil dan daripada jumlah itu, 2,254 telah digunakan, manakala 1,692 masih kosong.

“Jumlah kumulatif pesakit yang direkodkan di situ ialah sebanyak 133,240,” katanya.

Tambahnya, jumlah pesakit ditempatkan di situ kelmarin seramai 396 orang berbanding 346 pada Selasa.

Jumlah pesakit baharu yang direkodkan pula ialah seramai 396 orang. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI