fbpx

Teknologi perkasa sektor pertanian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail menunjukkan Nik Muhammad Zawawi menyembur racun serangga di salah satu tapak semaian ketika melawat LPP Terengganu.

PETALING JAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) komited dalam memastikan sektor pertanian menjadi lebih dinamik, inovatif, kompetitif serta menyumbang secara positif kepada ekonomi negara.

Pengerusi LPP, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, usaha itu juga sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan industri pertanian yang lestari sebagai pemangkin kemajuan ekonomi dan memberi kesejahteraan kepada rakyat negara ini.

Katanya, sempena penganjuran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan yang ke-46 tahun ini, negara juga amat bersyukur dan bertuah kerana bekalan makanan sentiasa stabil dan terjamin meskipun sedang berdepan dengan wabak pandemik Covid-19.

“Adalah menjadi hasrat kerajaan untuk melihat aktiviti pertanian dan industri agromakanan diusahakan rakyat secara bersepadu, dikomersialkan serta menjadi sumber pendapatan utama sekali gus dapat meningkatkan pendapatan negara.

“Justeru, dalam sektor pertanian, LPP amat menitikberatkan penggunaan teknologi dalam kalangan peladang kerana bukan sahaja memudahkan, malah meningkatkan kecekapan dan hasil,” katanya.

Nik Muhammad Zawawi berkata, penggunaan teknologi dalam bidang pertanian telah menjadikan pekerjaan tersebut bukan lagi dikategorikan sebagai 3D (Dirty, Dangerous and Difficult).

“Teknologi kejuruteraan ladang yang semakin moden dan dinamik untuk pesawah adalah salah satu inisiatif untuk memudahkan petani meningkatkan pengeluaran hasil padi.”

“LPP sentiasa menyokong penggunaan teknologi melalui galakkan dan pendedahan teknologi baharu dengan menjalin kerjasama bersama jabatan dan agensi lain agar golongan peladang memperolehi input serta perkhidmatan yang terbaik,” ujarnya.

Tambah beliau, tarikh 6 Ogos yang diisytiharkan sebagai Hari Peladang, Penternak dan Nelayan sudah pasti dihayati setiap tahun bagi memberi semangat kepada golongan tersebut kerana ia adalah tanda penghargaan kepada mereka yang menceburi bidang pertanian serta industri agromakanan.

Bagi menyokong agenda digitalisasi itu juga, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang turut dapat menggalakkan urusan transaksi tanpa tunai.

“Hal ini adalah bertujuan untuk memperkasa usahawan tani khususnya di luar bandar untuk menggunakan teknologi terkini di bawah Program Digitalisasi dan Transformasi Sektor Pertanian.”

“LPP juga akan sentiasa menyokong perubahan yang berlaku di Era IR 4.0 di mana kaedah teknologi moden termasuk penggunaan Internet of Thing (IoT), teknologi pendigitalan dan teknologi kejenteraan yang diperkenalkan dalam pengeluaran agro makanan,” katanya.

Sehubungan itu, Nik Muhammad Zawawi turut menyeru kepada seluruh warga peladang, penternak dan nelayan agar terus cakna dan haruslah menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku pada masa kini dalam mengguna pakai teknologi digital, kejenteraan moden, inovasi baharu dan lain-lain kemudahan yang disediakan kerajaan demi meningkatkan pendapatan selain menyumbang kepada ekonomi dan menjamin kecukupan bekalan makanan negara.

Katanya, para peladang, penternak dan nelayan diharapkan terus melipat gandakan usaha untuk melonjakkan sektor pertanian ke arah lebih berdaya maju dan dapat menjamin kelangsungan hidup walaupun pada masa krisis seperti bencana dan penularan wabak Covid-19. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI