PETALING JAYA – Proton melancarkan Proton Iriz dan Persona 2022 dengan menawarkan reka bentuk diperkemaskan serta ciri-ciri yang diperbaharui dengan harga bermula RM40,300.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, dua model tersebut didatangkan dengan warna baharu serta lebih keselesaan dan ciri-ciri keselamatan.
Menurut beliau, Proton Iriz dan Persona telah berjaya memenangi hati ramai peminat sejak diperkenalkan dan perubahan yang dilakukan mengambil kira cita rasa mereka.
“Perubahan reka bentuk serta penambahan model Active baharu bagi Proton Iriz telah meningkatkan daya tarikannya.
“Perubahan pada bahagian dalaman dan sistem infotainment akan memberikan keselesaan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, tempat duduk dan trim pintu leatherette Proton Persona Premium 2022 menggunakan warna coklat seperti warna yang diperkenalkan pada Proton X70 supaya tampil dengan reka bentuk dalaman baharu yang akan meningkatkan lagi kemewahannya.
“Persona juga menawarkan ruang but untuk simpanan barang bersaiz 510 liter yang boleh diperluaskan dengan melipat tempat duduk belakang,” tambahnya.
Jelasnya, penampilan bagi semua model 2022 juga termasuk lampu hadapan LED yang mempunyai fungsi automatik tutup dan buka.
“Reka bentuk dilengkapi dengan roda aloi bersaiz 16 inci, bumbung hitam dan juga lampu gabungan belakang yang baru.
“Warna baharu yang diperkenalkan adalah Citric Orange dan Passion Red untuk Proton Iriz 2022 serta Space Grey untuk Proton Persona 2022 memberikan penampilan lebih muda bagi setiap kereta,” jelasnya.
Roslan berkata, dari aspek keselamatan, kedua-dua model ini telah menerima penarafan ASEAN NCAP sebanyak lima bintang dan dilengkapi dengan ciri keselamatan yang komprehensif seperti struktur badan yang diperkuat menggunakan keluli Hot Press Formed steel, Kawalan Stabiliti Elektronik, Sistem Kawalan Traksi dan Bantuan Pegun Bukit.
Proton Iriz dan Persona 2022 kini boleh ditempah secara online.