PETALING JAYA – Aksi penerjun muda China, Quan Hongchan yang mengutip 10 markah penuh dalam acara 10 meter platform individu wanita menarik perhatian ramai, hari ini.
Hongchan, 14 tahun muncul atlet termuda China di Tokyo, menewaskan rakan senegara Chen Yuxi di kedudukan kedua dengan catatan mata keseluruhan menakjubkan 466.20 mata.
Beliau menjadi atlet China kedua termuda yang memperolehi pingat emas Olimpik dalam acara terjun selepas Fu Mingxia yang mencatat sejarah memenangi pingat emas acara 10m platform di Olimpik Barcelona 1992 pada usia 13 tahun.
Terdapat netizen mengaitkan remaja kecil molek itu mirip watak utama dalam filem CJ7 kerana prestasi yang ditunjukkannya begitu luar biasa.
“Abang syak budak China yang menang emas itu CJ7 agaknya atau geng-geng alien (makhluk asing). Patut bertanding kategori robot-robot bukan kategori manusia,” ulas Shaiful Nizam menerusi laman Facebook miliknya.
Menurut laporan iNEWS, Hongchan yang lahir di Kampung Maihe, Daerah Mazhang terpilih menyertai pasukan kebangsaan negaranya kurang dalam tempoh setahun.
Persekitaran hidup yang sukar menjadikan remaja itu kuat berusaha dan dia mula bergiat dalam sukan papan anjal ketika berusia tujuh tahun sebelum meningkat dengan cepat dan menyertai Pasukan Wilayah Guangdong pada 2018.
Keadaan kesihatan ibunya yang tidak menentu dikatakan menjadi pendorong dan motivasi kepada anak petani itu untuk berusaha keras menempa kejayaan dalam arena sukan.
“Kos rawatan ibu agak tinggi. Jadi saya rasa harus berusaha menjana pendapatan untuk membantu keluarga,” katanya dalam temu ramah bersama media tempatan sebelum kejohanan Olimpik Tokyo 2020.
Menurut jurulatih di Sekolah Sukan Zhanjiang bernama Chen Huaming, atlet cilik itu disifatkan mempunyai semangat juang yang tinggi, kuat berusaha dan berani.
Beliau ketika ditemu bual agensi berita Xinhua berterima kasih kepada bekas jurulatih dan kedua ibu bapa yang banyak menyokongnya selama ini.
“Saya ingin berterima kasih kerana menggalakkan saya untuk sentiasa bertenang dan beraksi dengan bebas tanpa mengira sama ada saya mendapat pingat atau tidak.
“Saya tidak fikir saya seorang yang luar biasa. Saya kurang bijak dalam pelajaran. Jika anda tanyakan saya soalan (akademik) tiada apa-apa dalam fikiran saya,” ujarnya merendah diri. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929