LONDON – Aston Villa mengesahkan bahawa mereka berjaya mendapatkan tandatangan penyerang Southampton, Danny Ings yang melengkapkan perpindahan bernilai £30 juta (RM175.99 juta).
Penyerang tersebut menandatangani kontrak selama tiga tahun di Villa Park selepas mempamerkan aksi cemerlang dengan meledak 13 gol di St. Mary sepanjang musim lalu.
Ings kini menjadi pemain keempat berjaya didapatkan oleh Villa selepas mereka terdahulu melengkapkan perpindahan Emi Buendia, Ashley Young dan Leon Bailey.
“Danny adalah seorang pemain yang luar biasa kerana dia mampu menjaringkan gol di mana sahaja tempat dia bermain.
“Dia juga adalah seorang pemain yang profesional dengan memiliki karakter yang baik terutama daya kepimpinannya mampu menjadi contoh kepada para pemain muda kami. Saya sangat gembira melihat dia akan bersama kami,” kata jurulatih Villa, Dean Smith.
Selepas meledak 11 gol bersama Burnley pada musim 2014/15, Ings berhijrah ke Liverpool, tetapi nasibnya tidak baik kerana berdepan masalah kecederaan sepanjang berada di Anfield.
Dia kemudian memilih untuk menyertai Southampton dan berjaya menjaringkan 46 gol sepanjang tiga musim bersama kelab itu dan turut menjadikannya antara penggempur paling produktif di England.
Villa dilihat cukup sibuk pada pasaran perpindahan kali ini selepas mereka mendapat suntikan dana yang cukup besar selepas berjaya menjual Jack Grealish ke Manchester City dengan harga £100 juta (RM588.2 juta). – AGENSI