PETALING JAYA – Penyanyi Nabila Razali memohon Kementerian Kesihatan (KKM) membuka semula ruangan komen bagi memberi peluang orang ramai melontarkan pendapat membantu mengekang penularan Covid-19 yang semakin meruncing di negara ini.
Perkara tersebut dicadangkan Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali, 29, menerusi rajutan ciapan dalam Twitter hari ini.
Pelantun lagu Peluang Kedua itu juga berharap orang ramai menjadikan ruangan komen dalam setiap hantaran KKM sebagai platform untuk berkongsi pendapat berbanding daripada terus berbalah dan saling menyalahkan antara satu sama lain.
“Saya faham asbab KKM menutup ruangan komen, kerana ingin mengelakkan perbalahan seterusnya mencetuskan suasana panik dalam kalangan rakyat.
“Namun, kini hampir dua tahun kita semua dibelenggu disebabkan pandemik Covid-19. Sesuatu perlu dilakukan, anda tak kasihan ke dengan petugas barisan hadapan?” ciapnya.
Tambah Nabila yang pernah membintangi drama Seindah Tujuh Warna Pelangi, dia mahu semua platform media sosial KKM digunakan sebagai ruang untuk orang ramai melontarkan idea.
Malah, dia juga menasihatkan orang ramai agar tidak mengecam mana-mana pihak yang menulis komen negatif kerana perkara tersebut boleh mengeruhkan lagi keadaan.
“Saya mahu cadangkan ruangan komen Facebook, Instagram dan Twitter KKM dijadikan sebagai tempat untuk kita bertukar pendapat serta idea bagaimana hendak mengekang wabak ini. Bukannya dijadikan ruang untuk menyalahkan satu pihak sahaja.
“Jika masih ada yang komen negatif, kita jangan kecam dia, sebaliknya didiknya sambil bertanya ‘apa masalah awak ya’?
“Saya juga faham ramai yang terkesan, hilang kerja, kehilangan ahli keluarga dan rindu nak balik kampung. Sabar, insya-Allah semua ini akan berakhir,” ujarnya.
Nabila juga memohon agar semua pihak tidak mengeruhkan lagi situasi semasa memandangkan satu dunia ketika ini sedang dilanda musibah.
“Tahniah kepada yang sudah membantu meringankan beban mangsa-mangsa Covid-19, tak kisahlah pihak kerajaan atau perseorangan, andalah hero sebenar.
“Jadi, sekarang saya nak anda semua mulakan menulis komen-komen yang membina dan bernas. Jika ada lokasi tempat kerja yang langgar prosedur operasi standard (SOP), tuliskan juga, kita bagi pihak yang berkenaan baca!
“Sekarang masa untuk kita bersatu hati. Tak mahu bergaduh,” katanya lagi.
Untuk rekod, ruangan komen KKM ditutup sejak dua bulan lalu kerana sering dihujani dengan kata-kata negatif daripada netizen.
Hari ini, Malaysia sekali lagi mencatatkan rekod baharu untuk jumlah kes harian positif Covid-19 iaitu sebanyak 20,596 kes. – K! ONLINE