fbpx

Sultan Selangor seru mahkamah percepat bicara kes rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin (tengah) dan Tengku Amir (kanan) bersama Azam di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru mahkamah supaya perbicaraan kes rasuah disegerakan dan tidak melayani penangguhan tanpa alasan yang kukuh.

Titah baginda, rakyat sudah muak dan bosan melihat pendakwaan kes rasuah yang berlarutan terlalu lama.

“Beta berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat melakukan siasatan telus dan teliti supaya pelaku yang dihadapkan ke mahkamah tidak terlepas dengan mudah.

“Beta turut menyasarkan gejala rasuah di Selangor dapat dibanteras sepenuhnya supaya tidak menjadi masalah lebih besar yang boleh memudaratkan generasi masa hadapan dan merosakkan masyarakat,” titahnya dalam Facebook rasmi Selangor Royal Office hari ini.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan menerima menghadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki di Istana Bukit Kayangan, di sini.

Turut berangkat, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Pada pertemuan selama dua jam itu, baginda diberi taklimat mengenai peningkatan kes rasuah di negara ini terutama Selangor.

Bulan lalu, Sultan Sharafuddin menitahkan supaya kurniaan Darjah, Bintang Kebesaran serta Pingat negeri bagi pegawai kerajaan dan ahli politik yang didapati melakukan kesalahan rasuah akan ditarik balik.

Baginda menegaskan bahawa pegawai kerajaan di Selangor yang didapati bersalah terlibat dalam aktiviti rasuah atau pecah amanah perlu dikenakan tindakan tatatertib dan hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. -K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI