RIYADH – Kerajaan Arab Saudi mengumumkan keyakinan bahawa negara berkenaan mampu mencapai imuniti kelompok Covid-19 menjelang Oktober ini, lapor akhbar Saudi Gazette, kelmarin.
Setakat Selasa lalu, lebih 28 juta dos vaksin telah diedarkan ke 587 pusat vaksinasi di seluruh Arab Saudi.
Lebih 19 juta orang atau menyamai 56 peratus penduduk Arab Saudi telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 setakat ini.
Jumlah mereka yang menerima dua dos vaksin pula adalah sekitar lapan juta orang yang mewakili 25 peratus populasi negara itu.
Kerajaan kini giat memacu sasaran untuk memvaksinasi sekurang-kurangnya 70 peratus penduduk dalam tempoh dua bulan dan mencapai imuniti kelompok pada Oktober ini
Purata jumlah vaksin yang diberikan setiap hari setakat ini adalah sekitar 365,000 dos.
Arab Saudi baru-baru ini memperkenalkan siri pencegahan bertujuan menangani penularan koronavirus termasuk mengehadkan akses di kebanyakan lokasi kemudahan awam untuk mereka yang sudah divaksin sahaja.
Bermula 1 Ogos lalu, hanya mereka yang selesai menerima vaksin diberi kebenaran memasuki premis instituti pendidikan, premis hiburan dan pusat beli-belah, menaiki pengangkutan awam dan semua perkara berkaitan kegiatan ekonomi.
Ini bakal disusuli sekatan perjalanan udara dengan Penguasa Umum Penerbangan Awam (GACA) mengeluarkan arahan baru-baru ini bahawa penduduk tempatan yang tidak mendapat dua dos vaksin dilarang ke luar bermula 9 Ogos ini.
Aplikasi Tawakkalna akan digunakan untuk memeriksa status imunisasi warganegara dan penduduk yang menetap di Arab Saudi. – Agensi