KOTA BHARU – Misteri bau busuk sejak seminggu lalu di Jalan Pasar Lama, Kok Lanas di sini terbongkar apabila seorang lelaki warga emas ditemui mati di dalam rumahnya di sini semalam.
Dalam tempoh itu, jiran-jiran terhidu bau busuk dari dalam rumah warga emas, Teh Pon Heng, 74, yang tinggal seorang diri.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim, jirannya telah memeriksa rumah mangsa sebelum mendapati warga emas itu sudah meninggal dunia pukul 4.05 petang semalam.
Katanya, berdasarkan maklumat jiran, mangsa kali terakhir dilihat berada di dalam rumah itu kira-kira pukul 3 petang pada Selasa minggu lalu.
“Siasatan mendapati, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dengan keseluruhan badannya sudah berbau di dalam rumah berkenaan.
“Mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk bedah siasat. Mayat lelaki itu juga sudah dituntut oleh keluarganya pada pukul 11 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Abdul Rahim, berdasarkan siasatan, polis mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929