fbpx

Segalanya tentang landak raya di Kampung Tala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGUNJUNG berpeluang memberi makan kepada landak di Pusat Santuari dan Pembiakan Landak Raya di Kampung Tala, Sik, Kedah.–MUHAMMAD SHAHIR NOORDIN

TIDAK bahayakah landak raya ni? Risaulah saya jika landak ini panah duri dari jauh dan terkena pada anak murid saya,” soal seorang guru wanita yang bimbang dengan keselamatan anak-anak muridnya yang dibawa melawat ke Pusat Santuari dan Pembiakan Landak Raya di Kampung Tala, Sik, Kedah baru-baru ini.

Demikianlah antara soalan dan kerisauan yang kerap disuarakan pengunjung ketika mahu melangkah masuk ke satu-satunya pusat santuari dan pembiakan landak raya di Malaysia berkeluasan 0.52 hektar itu.

Pusat tersebut terletak kira-kira 60 kilometer (km) dari Alor Setar iaitu kira-kira sejam perjalanan atau kira-kira 24 kilometer dari Pekan Sik dengan perjalanan sekitar 20 minit.

Pengusaha pusat itu, Mahadzir Abdul Hamid berkata, cerita kononnya landak raya mampu memanah duri yang ada pada badannya dari jauh untuk menyerang musuh adalah mitos semata-mata, namun hal itu telah menjadi kepercayaan sesetengah masyarakat.

“Ramai pengunjung yang datang beritahu, mereka takut dipanah dengan duri landak sehingga ada yang tidak berani menghampiri sangkar hidupan liar tersebut.

“Saya kemudian menjelaskan bahawa landak sebenarnya tidak boleh memanah duri dari jauh sehingga mengancam keselamatan manusia,” katanya kepada Panorama di pusat santuari berkenaan baru-baru ini.

 

SITI Zaharah menunjukkan daging landak yang telah dibersihkan untuk dimasak rendang.

 

Katanya, landak raya bukanlah haiwan pemangsa, sebaliknya akan melarikan diri jika mengesan kehadiran musuh.

“Jika tidak sempat melarikan diri, haiwan itu akan mengembangkan duri dan menuju ke arah musuh dengan mengundurkan badannya sehingga badan musuh itu tertusuk durinya sebagai cara mempertahankan dirinya,” jelas Mahadzir.

Katanya, kebanyakan pengunjung didapati kurang pengetahuan tentang spesies hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar tersebut.

“Salah satu objektif pembukaan pusat santuari ini adalah bagi mendidik orang ramai tentang landak yang diancam kepupusan akibat aktiviti memburu bagi mendapatkan dagingnya sejak sekian lama,” katanya yang mula membela landak raya sebagai hobi pada tahun 2014.

Ujarnya, pusat santuari yang beroperasi secara rasmi pada Jun tahun lalu dibuka kepada orang ramai dari pukul 9 pagi hingga 6 petang, setiap hari.

“Pengunjung tidak dikenakan sebarang bayaran dan mereka bukan sahaja berpeluang untuk melihat landak raya, malah memberi makan kepada haiwan itu,” katanya sambil menjelaskan pusat santuari itu adalah inisiatifnya dan pusat tersebut mendapat permit daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) bagi tujuan membela, membiakkan dan sebagai perniagaan.

Mengelakkan eksploitasi

Mahadzir berkata, pihaknya mahu masyarakat terutama golongan muda memahami tentang landak dan membantu memelihara habitat haiwan itu supaya tidak terus diancam kepupusan.

“Kita juga berusaha untuk menyedarkan golongan muda tentang kepentingan menjaga spesies ini dengan baik serta menjadi mata dan telinga bagi kegiatan pemburuan haram,” ujarnya.

Menurutnya, pihaknya sehingga kini telah berjaya membiakkan lebih 200 ekor haiwan itu.

 

MAHADZIR menunjukkan produk duri landak daripada tinggalan landak di pusat santuari tersebut.

 

 

Katanya, pada masa ini, terdapat lebih 150 ekor landak raya termasuk anak yang baru dilahirkan di pusat tersebut.

“Di sini, terdapat 90 ekor landak betina manakala selebihnya adalah jantan dengan nisbah seekor landak raya jantan boleh mengawan bagi keperluan 10 ekor landak raya betina.

“Landak raya mengawan tidak kira masa tetapi lebih aktif pada waktu malam. Uniknya, belum pernah ditemui landak yang terluka akibat tertusuk duri ketika mengawan,” katanya.

Ujarnya, penternakan landak raya secara komersial bagi bekalan daging dan bahagian lain untuk penghasilan produk boleh mengelakkan eksploitasi hidupan liar tersebut di hutan.

“Harga bagi sepasang landak raya ini boleh mencecah sehingga RM4,500 dengan berat seekor landak dewasa di pusat santuari ini adalah 18 kilogram (kg),” jelasnya.

Katanya, seekor landak raya boleh menghabiskan sekilogram makanan sehari dan hampir semua jenis buah, labu dan ubi kayu termasuk kulit cempedak dan nangka adalah makanannya.

“Kos untuk penyediaan makanan landak raya di sini adalah antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan,” katanya sambil memberitahu haiwan itu tahan lasak dan boleh hidup dalam tempoh lebih 20 tahun.

Ujarnya, daging landak digemari peminat makanan eksotik di seluruh dunia kerana berkhasiat tinggi.

“Daging landak raya berprotein tinggi, lembut, mengandungi Omega 3 yang tinggi serta tidak mengandungi lemak dan kurang serat,” katanya.

 

KERJA-kerja mencuci kandang landak dilakukan kerap untuk menjaga kebersihan.

 

Di pusat santuari itu juga, Mahadzir turut menghasilkan lebih 15 produk berasaskan landak seperti daging landak rendang sejuk beku, minyak landak raya, serbuk duri landak dan duri landak. Produk-produk berasaskan landak raya itu berharga antara RM10 hingga RM60.

Sementara itu, pengunjung, Zainal Aziz Md. Zain, 47, berkata, pengalaman melihat dan memberi makan landak raya di pusat santuari itu sangat menarik.

“Selepas ini saya merancang untuk membawa anak-anak ke sini untuk melihat landak raya dengan lebih dekat lagi,” katanya yang turut mencadangkan agar pusat tersebut diperkenalkan sebagai salah satu destinasi pelancongan di negeri Jelapang Padi itu.

Seorang lagi pengunjung, Muhammad Mukhlis Mohd. Yusuf, 22, berkata, dia berpeluang merasai keenakan daging landak ketika melawat pusat tersebut.

“Dagingnya lembut dan sedap, selain dikatakan berkhasiat,” ujarnya.

Sementara itu, tukang masak di pusat santuari, Siti Zaharah Ghazali, 29, berkata, dia biasa menyediakan gulai daging landak sekiranya menerima tempahan awal pengunjung.

“Bahan-bahan yang digunakan sama seperti masakan gulai lain. Jika masak menggunakan periuk biasa, masa diambil sehingga juadah siap masak dan daging landak empuk adalah hampir dua jam,” katanya.

Katanya, pengunjung boleh membuat tempahan awal sekiranya mahu hidangan makan tengah hari berasaskan daging landak disediakan.

“Saya seronok tengok pengunjung kelihatan teruja merasai keenakan daging landak serta masakan kampung lain yang disediakan penduduk tempatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI