PELARI sensasi Amerika Syarikat (AS), Sydney McLaughlin terus melakukan kejutan apabila berjaya memecahkan rekod dunia miliknya sendiri ketika menjulang kemenangan dalam acara 400 meter (m) berpagar wanita Olimpik sebentar tadi.
Pada saingan tersebut, atlet berusia 21 tahun tersebut merekodkan larian 51.46 saat untuk meraih emas selepas berjaya mengatasi rakan senegaranya dan juga juara Olimpik 2016, Dalilah Muhammad yang meraih perak (51.58s).
Sementara itu, pelari dari Belanda, Femke Bol terpaksa berpuas hati meraih gangsa dengan catatan 52.03s.
Lebih menarik, McLaughlin turut mengatasi rekod dunia 51.90s miliknya yang dicatatnya ketika kejohanan saingan ujian Amerika Syarikat di Oregon pada Jun 2021.
“Saya sangat gembira dan perlumbaan yang sangat hebat. Saya bersyukur kerana berada di sini untuk meraikan perlumbaan luar biasa ini.
“Pada saingan tersebut, saya melihat Dalilah berada di depan saya dan ketika itu saya hanya berfikir untuk meneruskan perlumbaan. Saya memberikan semua yang saya ada,” kata McLaughlin.
Dalam pada itu, McLaughlin turut mengakui kejayaan tersebut tidak akan hadir jika tanpa kerja kerasnya menjalani latihan sebelum menuju ke Tokyo.
“Kejayaan ini adalah tentang mempercayai sesi latihan dan mempercayai jurulatih anda. Jika anda melakukannya itu dengan baik dan fokus 100 peratus, anda akan mampu lakukan kejutan,” tambahnya. – AGENSI