KOTA BHARU – Kelab Bola Sepak Kelantan United (KUFC) terlepas peluang memburu kedudukan terbaik apabila sekadar seri 2-2 dengan Selangor FC II dalam aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, KUFC perlu menunggu sehingga minit ke-33 untuk memecah kebuntuan apabila Muhammad Zafuan Azeman tenang melepaskan rembatan kencang selepas memanfaat hantaran lintang rakan sepasukan.
Penyerang KUFC, Ariusdius Jais mensia-siakan peluang menambah jaringan pada minit ke-43, apabila rembatannya terus ke dakapan penjaga gawang Selangor FC II Sikh Izhan Nazrel Shikh Azman.
Ayam tambakan KUFC, Gassama Alfusainey berjaya mencipta nama sebagai penjaring pada minit ke-54 apabila meledak gol kedua apabila mudah menampan masuk bola lintangan Mohd. Fadzrul Amir Zaman.
Pemain import Selangor FC II, Alexander Ameyaw menghadirkan keceriaan buat kem pelawat apabila menjaringkan gol pada minit ke-70 untuk merapatkan jurang jaringan kepada 1-2.
Gassama terus menjadi duri dalam daging buat pelawat apabila hampir mencetak gol ketiga dalam perlawanan itu, namun rembatan dari luar kotak penalti berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol Selangor FC II, Sikh Izhan Nazrel.
Ketika tuan rumah berkira-kira untuk meraih tiga mata, pemain gantian Selangor FC II, T. Saravanan berjaya mencetak gol penyamaan pada minit ke-82 sekali gus mengikat keputusan 2-2 sehingga wisel penamat. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929