fbpx

Permohonan Siti Bainun berhubung hak penjagaan didengar 14 September

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Bainun (tengah) bersama peguamnya selepas prosiding kes di Mahkamah Kanak-Kanak di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Kanak-Kanak di sini hari ini menetapkan 14 September depan bagi pendengaran permohonan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali untuk mendapatkan semula hak penjagaan lima anak angkat di bawah jagaannya.

Siti Bainun ,29,  dan lima lagi ibu kandung kepada anak angkatnya itu memfailkan notis permohonan tersebut melalui Tetuan Chambers of Aminatul Mardiah pada 2 Ogos lalu di Mahkamah Kanak-Kanak di sini dengan menamakan Agensi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden.

Permohonan tersebut adalah juga bagi pembatalan perintah interim yang di berikan kepada JKM tanpa mematuhi keperluan di bawah Seksyen 30 (10) Akta Kanak-Kanak 2001 di mana penjaga yang sah tidak diberikan peluang hadir dan berhujah semasa perintah interim diberikan.

“Hari ini sepatutnya adalah pendengaran permohonan kerana kami memfailkan perakuan segera. Bagaimanapun pihak JKM tidak bersedia dan mahu membalas afidavit yang difailkan dan mahkamah menetapkan satu tarikh lain (14 September) untuk pendengaran permohonan tersebut,” kata peguam Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor yang mewakili pemohon ketika ditemui selepas prosiding kes di hadapan Majistret Norfarahain Roslan.

Menurut Nur A’minahtul, lima anak jagaan yang dituntut itu berusia antara dua hingga 14 tahun yang kesemuanya sebelum ini dibawah jagaan Siti Bainun dengan dua daripadanya adalah Sindrom Down. Kelima-limanya kini dibawah JKM.

Mengulas lanjut, Nur A’minahtul memaklumkan pada waktu sekarang pihaknya telah mendapat perintah secara interim untuk Siti Bainun diberikan akses panggilan video (video call), penghantaran lampin pakai buang, susu dan gajet bagi tujuan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, antara permohonan itu ialah perintah pembatalan jagaan sementara lima anak angkat Siti Bainun yang sekarang diberikan kepada dua buah rumah kebajikan.

Selain itu, permohonan itu turut menyatakan ia adalah permintaan daripada keluarga kandung lima kanak-kanak itu yang mana mereka mahu jagaan diberikan kepada pihak pemohon.

Pegawai Pelindung Kanak-Kanak yang hadir bagi pihak responden adalah Noor Afdzan Mohd. Sahandrigani, Asiah Bachok dan Mohd. Imran Mohd. Zanyuin.

Pada pertengahan Julai lalu, media melaporkan seorang wanita yang juga pengasas Rumah Bonda ditahan polis selepas hadir di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Lumpur untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes penderaan seorang remaja Orang Kelainan Upaya (OKU).

Namun permohonan reman ke atas wanita itu ditolak Majistret berikutan ia dilakukan melebihi tempoh 24 jam dari wanita itu ditahan.- K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI