fbpx

ASP polis dituduh minta, terima rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beberapa individu mengiringi lelaki kononnya Ameyrudin ketika tertuduh keluar melalui laluan belakang di Mahkamah Sesyen di Butterworth hari ini.

SEBERANG PERAI – Seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah pada 2018.

Tertuduh, Ameyrudin Ahmad Zuki, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abd. Hamid.

Mengikut pertuduhan pertama, dia sebagai seorang ejen kerajaan iaitu Penolong Penguasa Polis didakwa secara rasuah menyetujui untuk menerima suapan RM20,000 daripada Muhamad Hisham Aziz.

Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdaganan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 terhadap Muhamad Hisham.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dalam biliknya di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini kira-kira pukul 12 tengah hari pada 5 Ogos 2018.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Bagi pertuduhan kedua, Ameyrudin didakwa secara rasuah menerima suapan RM15,000 daripada individu sama sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dalam kereta jenis Perodua Axia di hadapan premis Hometown The Houseware Outlet di daerah Seberang Perai Tengah di sini kira-kira pukul 4.30 petang pada 7 Ogos 2018.

Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi bagi kedua-dua kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Azlan Basri, manakala tertuduh diwakili peguam Shahrullah Khan.

Ameyrudin dibenarkan diikat jamin sebanyak RM7,000 beserta seorang penjamin, manakala 14 September depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, kira-kira 15 individu berbaju hitam yang mengenakan topi dilihat hadir ke mahkamah dipercayai bagi mengiringi tertuduh dengan menaiki beberapa kenderaan termasuklah dua buah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard.

Usaha jurugambar merakam foto tertuduh turut ‘terhalang’ apabila beberapa individu dipercayai berpura-pura mengiringi tertuduh sambil menutup kepala dengan sehelai jaket, manakala dalam masa sama Ameyrudin dipercayai keluar melalui pintu belakang sejurus membayar jaminan.

Tertuduh dikatakan hadir ke mahkamah dengan mengenakan jaket dan seluar jean berwarna biru serta bertopi hitam. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI