fbpx

Covid-19, pendakwaan rasuah pemilik syarikat teksi bergelar Datuk ditangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengasas Big Blue Taxi Services, Datuk Shamsubahrin Ismail yang sepatutnya dituduh atas pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, ditunda berikutan ahli perniagaan itu positif Covid-19 semalam.

Perkara itu dimaklumkan peguam Shamsubahrin Muhammad Noor Azfar Muhammad Noor Azmi pada sebutan untuk pertuduhan kes itu di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Menurut Muhammad Noor Azfar anak guamnya kini berada di rumah dan sedang menjalani kuarantin seperti yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Anak guam saya telah menjalani pemeriksaan malam tadi kerana tidak sihat dan selepas diuji dia positif Covid-19.

“Oleh itu saya pohon satu tarikh baharu untuk pertuduhan dibacakan terhadap anak guam saya,  katanya.

Dalam prosiding itu, Pegawai Pendakwa Abd. Muntaqim Abdul Aziz yang mewakili pendakwaan tidak membuat sebarang bantahan.

Berikutan itu, Hakim Rozina kemudian menetapkan 27 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Semalam media melaporkan seorang pemilik syarikat teksi bergelar Datuk, akan didakwa di mahkamah, atas dakwaan meminta dan menerima rasuah daripada seorang individu kononnya bagi membantu menyelesaikan kes rasuah yang sedang dibicarakan.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, lelaki berusia 50-an itu akan didakwa kerana meminta rasuah berjumlah RM95,000 daripada seorang individu yang kesnya sedang dibicarakan di peringkat Mahkamah Rayuan.

Kata sumber itu, suspek meminta wang itu kononnya untuk dibayar kepada Timbalan Pendakwa Raya dan pegawai di Pejabat Peguam Negara yang menjalankan kes berkenaan.

“Daripada jumlah yang diminta itu, suspek dipercayai sudah menerima RM10,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya, kemudian suspek meminta lagi RM35,000 secara tunai,” katanya.

Difahamkan, suspek akan didakwa dengan beberapa pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, seterusnya di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Khamis ini.

Jelas sumber itu, suspek akan didakwa menerima dan meminta rasuah itu mengikut Akta SPRM 2009. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI