SABAK BERNAM – Seorang penyelam bebas dilaporkan hilang semasa melakukan selaman bagi tujuan mengikat tali pada bot karam bersama tiga rakannya berhampiran Sungai Besar di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa yang berusia 27 tahun dikenali sebagai Calvin Patrick Lazaroo.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Mohd. Rosli Kassim berkata, rakan-rakan mangsa kemudiannya telah melakukan usaha pencarian di sekitar kawasan tersebut selepas menyedari kehilangan Calvin.
Katanya, bagaimanapun usaha pencarian selama empat jam itu gagal sebelum mereka menghubungi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru bagi tindakan lanjut.
“MRSC Johor Bahru telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (carilamat) pada pukul 2.20 petang dan mengatur gerak Kapal Maritim (KM) Nyalau yang sedang beroperasi ke lokasi kejadian.
“Setakat pukul 7.30 malam tadi, mangsa belum ditemui dan dipercayai masih tenggelam berhampiran posisi yang dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, operasi carilamat ditangguhkan kerana faktor penglihatan terhad pada waktu malam dan cuara buruk.
Ujar Mohd. Rosli, pangkalan hadapan carilamat akan ditubuhkan di Jeti Perikanan Sungai Besar esok.
“Fokus pencarian esok berkeluasan 148.83 batu nautika persegi di sekitar Perairan Sungai Besar.
“Operasi itu turut melibatkan Pasukan Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan komuniti nelayan setempat,” jelasnya. – K! ONLINE