DALAM sejarah pembentukan Sabah pada 16 September 1963, ada 14 individu paling berkuasa yang pernah memimpin negeri berkeluasan 73,631 kilometer persegi itu.
Kuasa itu dimulakan oleh Tun Fuad Stephens pada tahun 1963 dan selepas 55 tahun, kuasa itu kini dipegang Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Selain Fuad Stephens dan Shafie, ada beberapa lagi tokoh besar yang pernah merasai nikmat sebagai Ketua Menteri.
Ini termasuklah Tun Datu Mustapha Datu Harun, Tan Sri Harris Salleh, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Datuk Seri Yong Teck Lee dan Tan Sri Musa Aman.
Ironinya, peluang untuk sampai ke jawatan tertinggi itu bukannya mudah.
Selain perlu mendapat kerusi majoriti di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), pemimpin itu juga perlu mempunyai pengaruh luar biasa yang membolehkannya dipilih dalam kalangan Ahli Dewan.
Dan andai kata dipilih dan diberi mandat memerintah, ia bukanlah jaminan untuk kekal sebagai Ketua Menteri sehingga ke akhir penggal.
Semua pemimpin utama perlu tahu bahawa musuh politik ada di mana-mana. Paling nyata pastinya kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai pembangkang.
Namun, dalam dunia politik tanpa prinsip ketika ini, pembangkang bukan lagi musuh utama kepada sesebuah kerajaan.
Pemimpin dalam kerajaan itu sendiri sebenarnya boleh menjadi duri dalam daging kepada ketuanya.
Pada 29 Julai lalu, iaitu sehari sebelum umat Islam menyambut Aidiladha, rakyat Sabah tiba-tiba disajikan dengan drama politik yang cukup luar biasa.
Senario politik baharu itu bukan sahaja menggoncang pentadbiran sedia ada, malah turut menyaksikan kemunculan semula Musa dalam arena politik tanah air.
Musa hadir dengan strategi baharu. Bersamanya adalah segerombolan ahli politik yang telah dipilih rakyat Sabah pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
Tujuan kumpulan itu hanya satu, membentuk gabungan politik yang membolehkan mereka merampas pentadbiran kerajaan negeri daripada tangan Shafie.
Perkembangan yang dicetuskan kumpulan berkenaan telah membuatkan politik Sabah berkecamuk. Budaya lompat parti – kononnya atas alasan hilang kepercayaan berlaku secara besar-besaran.
Kumpulan pemimpin yang dahulunya lari meninggal Musa dan memilih untuk setia berdiri di belakang Shafie, kini beralih arah. Prinsip kesetiaan dan ketaatan hilang begitu sahaja.
Natijahnya, Shafie telah bertindak balas yang kemudiannya membawa kepada pembubaran DUN. Bagaimanapun, isu tersebut telah diheret ke mahkamah.
Isnin ini, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu akan mendengar hujah dan membuat keputusan bagi semakan kehakiman berkaitan pembubaran DUN Sabah.
Persoalan sama ada ia memihak kepada kumpulan Musa ataupun kumpulan Shafie, ia bukan sesuatu yang penting.
Apa yang penting, rakyat Sabah telah diberikan satu bayangan jelas. Budaya politik kotor yang dijelmakan pemimpin bertaraf wakil rakyat dalam mengejar kuasa dan pengaruh telah terbongkang luas.
Seperti kata mantan Presiden Indonesia keempat, Gus Dur, “Apa yang lebih penting dari politik dan segalanya, adalah kemanusiaan.”