PEMAIN golf wanita negara, Kelly Tan mengakui sudah tidak sabar untuk memulakan aksi pada pusingan pertama yang akan berlangsung di lapangan Kelab Golf Kasumigaseki hari ini.
Dia yang meletakkan sasaran untuk memenangi pingat pada penampilan keduanya di Sukan Olimpik, bagaimanapun berdepan beberapa cabaran sepanjang berada di sana.
Katanya, dia masih belum dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di Tokyo kerana terpaksa mengharungi penerbangan jauh dari Amerika Syarikat (AS) sebelum ini.
Selain itu, Kelly menjelaskan, dia tidak dapat menikmati tidur yang nyenyak di perkampungan sukan kerana keadaan katil yang dianggap terlalu keras.
“Memang saya berdepan banyak cabaran di sini. Saya tinggal di perkampungan sukan, namun setiap hari perlu datang ke lapangan untuk melakukan latihan dan ia memerlukan masa sejam setengah.
“Selain itu, saya rasa tidak selesa pada bahagian leher kerana katil yang disediakan sangat keras. Oleh itu, saya tidak dapat tidur dengan nyenyak.
“Saya juga berangkat dari AS untuk datang ke sini, jadi masih ada kelesuan jet. Bagaimanapun, saya akan cuba lakukan yang terbaik esok (hari ini),” katanya.
Pada masa sama, Kelly yang pernah beraksi dalam Siri Jelajah LPGA AS percaya mereka akan berdepan cuaca tidak menentu sepanjang saingan meskipun sudah tidak sabar untuk beraksi.