PETALING JAYA – Keputusan sama ada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin masih lagi sah atau telah tumbang perlu ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Penganalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Marthada Mohamed berkata, susulan itu, Istana Negara perlu mengesahkan terlebih dahulu sama ada telah menerima Surat Akuan Ahli-Ahli Parlimen UMNO.
“Selepas itu, terpulang kepada Al-Sultan Abdullah untuk menggunakan kuasa budi bicara baginda dalam membuat perhitungan terhadap kerajaan PN sama masih mempunyai sokongan atau sebaliknya.
“Jadi, terpulang kepada baginda untuk menerima surat akuan itu dan membuat penilaian sama ada PN telah hilang majoriti atau masih lagi sah sebagai sebuah kerajaan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong mempunyai pelbagai kaedah dalam menentukan status kerajaan PN seperti yang dilakukan sebelum ini ketika mahu melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
“Situasi sama mungkin dilalui Al-Sultan Abdullah dalam menentukan taraf kerajaan PN, saya percaya baginda akan gunakan kaedah sama seperti sebelum ini.
“Jika diimbas semula, ketika Pakatan Harapan (PH) berdepan situasi sama, baginda memanggil semua Ahli Parlimen bagi mengesahkan sokongan sebelum keputusan diputuskan,” jelasnya.
Sementara itu, mengulas mengenai surat akuan dikeluarkan UMNO, Ahmad Marthada menyifatkan ia tidak mewakili keseluruhan Ahli Parlimen UMNO termasuk yang berada dalam Kabinet.
“Bagi saya terlalu awal untuk katakan surat itu menyebabkan PN hilang sokongan memandangkan ia diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi dan bukan keseluruhan pemimpin UMNO.
“UMNO juga tidak boleh mendakwa PN telah tumbang kerana kita tahu sebahagian Ahli Parlimen mereka telah mengatakan sokongan kepada PN sekali gus meragui surat akuan itu,” katanya. -K! ONLINE