fbpx

Orang Perlis kini boleh makan di kedai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
gambar hiasan

KANGAR – Pengusaha restoran menyambut baik peralihan Perlis ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini yang membenarkan perkhidmatan makan di restoran terhad kepada dua orang semeja dengan penjarakan fizikal.

Rata-rata pemilik restoran yang ditemui berharap sedikit kelonggaran yang diberikan itu dapat merancakkan kembali perniagaan mereka.

Pemilik Restoran Mee Zdin, Zainudin Bhukarai, 43, berkata, berita mengenai peralihan ke fasa tiga tersebut sememangnya tidak disangka-sangka tambahan pula dengan peningkatan kes di negeri ini sejak akhir-akhir ini.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana negeri itu sudah meme­nuhi kriteria ditetapkan untuk beralih ke fasa seterusnya kerana banyak restoran yang terjejas termasuk ada yang tidak dapat beroperasi kerana kekangan daripada segi perniagaan melalui sistem penghantaran dan sebagainya.

“Ia dilihat sangat membantu terutamanya kepada pemilik restoran ikan bakar di Kuala Perlis yang mana mereka agak terjejas kerana kebiasaannya orang ramai lebih gemar untuk makan di kedai dengan hidangan menu secara panas.

“Alhamdulillah perniagaan kami boleh bertahan walaupun agak terjejas juga. Mungkin selepas ini kami dapat meningkatkan jumlah pekerja kepada 80 peratus pada satu masa berbanding 50 hingga 60 peratus ketika ini,” katanya ketika ditemui di restorannya di Jalan Kuala Perlis semalam.

Menurutnya, kebenaran makan di kedai dapat memudahkan pelanggan terutamanya yang bekerja untuk menjamu selera di premis itu.

Sementara itu, Pemilik Res­toran Dunia Yong Tau Foo Jalanan di cawangan Kangar Jaya, Rohayu Sudirman, 29, berkata, pihaknya menyambut baik kebenaran makan di kedai dan berharap perkara tersebut akan terus kekal.

“Memang baik dapat buka semula kerana pendapatan kami sebagai peniaga memang terjejas dan turut memberi kesan kepada pekerja kerana kami tidak mampu untuk membayar gaji seperti sebelum ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang jurujual, Asri Bahrom, 27, berkata, kelonggaran yang diberikan apabila beralih ke fasa tiga amat dihargai terutamanya dapat makan di kedai ketika bekerja.

“Saya minta agar rakyat menghargai kelonggaran yang diberikan ini untuk sama-sama me­ngawal daripada kes merebak semula di negeri ini,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI