fbpx

Tiga bulan ‘sengsara’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANDORA (tengah) bersama jiran menunjukkan beberapa tong simpanan air kepada Mohd. Aznik (kanan) di Taman Raya Murni, Padang Serai semalam.

KULIM – Kira-kira 100 penduduk dari 20 buah kediaman di Taman Raya Murni, Padang Serai, dekat sini, buntu apabila sering me­ngalami gangguan bekalan air sejak tiga bulan lalu.

Penduduk mendakwa masalah itu tidak berkesudahan walaupun sudah beberapa kali membuat aduan kepada pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA) serta pemimpin setempat.

Seorang penduduk, Zaini Saad, 57, berkata, dia yang mula me­netap di perumahan itu sejak 2009 tidak pernah mengalami masalah bekalan air secara kerap.

“Tidak diketahui puncanya, bekalan air hanya ada pada se­belah pagi bermula pukul 6 pagi sehingga 2 petang.

“Selepas itu bekalan air terputus dan air akan ada semula antara pukul 10 malam hingga 12 tengah malam,” katanya di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Andora Amri, 43, berkata, dia terpaksa menyimpan air di dalam tong di hadapan rumah kerana tekanan air hanya kuat pada paip di halaman rumah sahaja.

“Bagi urusan mandi atau memasak, kami kena angkut air dari luar kerana air di singki dan bilik air terlalu perlahan, malah suami saya terpaksa mandi di tempat kerja sebelum pulang ke rumah,” katanya.

Sementara itu, Rosnah Abu Bakar, 54, berkata, setiap hari mereka perlu bangun awal pagi untuk menadah air untuk memasak.

“Walaupun air yang keluar perlahan dan sering terganggu, bil bulanan tetap pada kadar sama seperti tiada masalah,” dakwanya.

Pengerusi Persatuan Penduduk Raya Murni, Mohd. Aznik Sapee berkata, masalah gangguan air itu hanya melibatkan kira-kira 20 buah rumah di Jalan Raya Murni 9, 8 dan 4 taman itu.

“Saya ada menghubungi pihak SADA memaklumkan masalah ini, namun sehingga kini pihak SADA tidak memberi penjelasan kembali kepada saya atau penduduk,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI