PENGANJURAN temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 kali ini dilangsungkan dalam seribu kepayahan apabila hos, Jepun terpaksa berdepan ancaman Covid-19 memaksa diadakan dengan cara yang cukup berbeza.
Biarpun kes penularan menunjukkan trend peningkatan, penganjur berjaya memastikan keselamatan 10,306 atlet terjamin.
Sepanjang 12 hari berlangsungnya temasya berkenaan, banyak rekod-rekod kejohanan dan dunia berjaya dipecahkan walaupun jangkaan awal Covid-19 bakal menjejaskan prestasi atlet sukan dunia.
Selain itu, ada beberapa lagi perkara yang mencuri perhatian pada saingan kali ini termasuklah keputusan yang dibuat oleh atlet gimnastik berprofil tinggi dari Amerika Syarikat (AS), Simone Biles.
Biles tiba di Tokyo kali ini dengan reputasi yang cukup tinggi selain dianggap permata bagi kontinjen AS kerana kemampuannya menyumbang sekurang-kurang lima pingat emas buat mereka.
Bagaimanapun, keputusan Biles menarik diri lima daripada enam acara final yang disertainya setakat ini mencetuskan kegemparan terutama buat kem gimnastik AS dan kontinjen negara itu serta peminat gimnastik di seluruh dunia.
Segalanya bermula ketika dia gagal beraksi dengan baik pada disiplin melombol untuk acara all-around berpasukan menyebabkan dia membuat keputusan drastik dengan menarik diri pada Rabu minggu lalu.
Kurang 24 jam selepas itu, Biles sekali lagi membuat keputusan mengejutkan apabila mengesahkan bahawa dia tidak akan turun beraksi dalam acara all-around individu.
Dia juga membuat keputusan yang sama untuk acara melombol, palang bertingkat dan senaman lantai, namun masih belum membuat keputusan untuk acara terakhirnya di Olimpik kali ini, batang titian.
Keputusan itu nyata membingungkan semua pihak apabila Biles memberi alasan terpaksa berbuat demikian untuk menjaga kesihatan mentalnya.
Biles dalam kenyataan mengakui mentalnya tidak bersedia dan berdepan risiko kecederaan teruk sekiranya terus beraksi akibat hilang pengawalan badan.
Ketika acara melombol berkenaan, Biles mengakui dia sepatutnya melakukan dua setengah pusingan ketika di udara tetapi hanya mampu melakukan satu setengah pusingan sebelum menyedari bahawa dia sedang berdepan masalah hubungan antara otak dan pengawalan badan.
Bekas gimnas AS, Dominique Moceanu percaya keputusan yang dibuat Biles itu tepat kerana dalam sukan tersebut kesinambungan antara otak serta badan sangat penting.
“Dalam sukan ini, kami ibarat terjun ke sebuah kolam tanpa air. Apabila anda hilang kemampuan untuk berfikir bagaimana pendaratan perlu dilakukan, kesannya sangat buruk,” katanya.
Biarpun Biles dianggap atlet berkelas dunia yang meraih empat pingat emas di Olimpik Rio 2016 dan 19 emas di Kejohanan Dunia, dia juga adalah manusia biasa yang mempunyai had tertentu. -K! ONLINE