ALOR SETAR – Seramai 83 daripada 186 penduduk Kampung Bukit Malut, Langkawi dekat sini yang menjalani ujian saringan sejak 27 Julai lalu sehingga kelmarin disahkan positif Covid-19.
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Othman Warijo berkata, ujian saringan dilakukan terhadap penduduk di kawasan tersebut yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 27 Julai lalu hingga 9 Ogos depan.
Kata beliau, daripada jumlah keseluruhan saringan itu, seramai 16 orang didapati negatif dan diarahkan untuk menjalani kuarantin manakala 87 lagi masih menunggu keputusan makmal.
“Satu kematian telah dilaporkan di kawasan PKPD Bukit Malut dan disahkan positif Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kampung Bukit Malut dikenakan PKPD susulan penularan Covid-19 bagi Kluster Dah Bukit dengan seramai 806 penduduk di situ diberikan arahan kuarantin selama 10 hari. – K! ONLINE