LISBON – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola optimis pasukannya tidak mempunyai masalah untuk meraih kemenangan menjelang aksi suku akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Olympique Lyon awal pagi esok.
Kata Guardiola, tidak keterlaluan untuk meletakkan pasukannya sebagai pilihan untuk ke pentas separuh akhir tetapi dalam masa yang sama mereka tidak boleh memandang rendah kemampuan Lyon yang menyingkirkan Juventus pada pusingan kalah mati sebelum ini.
“Kami telah melakukan persiapan rapi dan saya percaya pasukan tidak mempunyai masalah untuk meraih keputusan yang diharapkan sekiranya mengekalkan momentum seperti perlawanan lepas (ketika menewaskan Real Madrid).
“Bagaimanapun, suka saya mengingatkan pemain agar terus berwaspada dengan ancaman yang boleh diberikan oleh Lyon kerana kita lihat kualiti yang dimiliki mereka pada aksi menentang Juventus sebelum ini,” kata Guardiola.
Sementara itu, pemain tengah The Citizens, Benardo Silva percaya mereka kini berada dalam prestasi terbaik dalam misi menamatkan penantian menjuarai saingan Liga Juara-Juara Eropah buat pertama kali.
“Saya percaya sekarang adalah peluang terbaik untuk pasukan membuktikan bahawa kami tidak hanya boleh menguasai saingan domestik tetapi saingan Liga Juara-Juara Eropah memiliki prestij tersendiri dan mampu melonjakkan pasukan ini ke tahap yang berbeza,” katanya.
Sebagai rekod, City yang menjuarai gelaran trebel peringkat domestik tahun lalu hanya mampu mempertahankan gelaran Piala Liga England musim ini dan sememangnya terdesak untuk menjuarai saingan Liga Juara-Juara Eropah. – AGENSI