SHAH ALAM – Sukan-sukan baharu Olimpik yang belum didominasi negara-negara besar akan menjadi antara prospek baru kepada Malaysia dalam memenangi pingat.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ini berdasarkan perkembangan terbaru kejohanan Olimpik yang membawa masuk sukan-sukan popular di kalangan anak muda seperti berbasikal BMX dan papan selaju.
“Semalam saya ada berbincang dengan Majlis Olimpik Malaysia (OCM) terhadap perkembangan sukan-sukan baru ini dan kalau kita memberikan penumpuan dalam tempoh empat tahun sebelum ke Paris, InsyaAllah boleh menampilkan atlet-atlet baru yang boleh memenangi pingat.
“Lagipun, sukan itu (seperti BMX dan papan selaju) dari segi cabaran belum sesengit dan menjadi acara tradisi yang didominasi barat mahupun China. Jadi, saya melihat kemungkinan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas sebarang prospek baru bagi negara selepas Jepun berjaya memenangi dua pingat emas dalam acara papan selaju di Olimpik menerusi Yuto Horigome dan Momiji Nishiya yang pertama kali dipertandingan dalam kejohanan tersebut.
Dalam perkembangan sama, beliau menaruh harapan kepada atlet terjun negara seperti Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong serta jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohammad Azizulhasni Awang membawa pulang pingat dalam sukan Olimpik kali ini.
“Mereka semua ini adalah prospek pingat, warna apa kita serah kepada takdir. Kalau lihat, Jun Hoong sendiri merupakan bekas juara dunia 2017 dan boleh membuat kejutan.
“Malah, Azizulhasni sudah tentu kita memang berharap akan memenangi pingat kerana beliau merupakan antara atlet yang secara sukarela meletakkan petunjuk prestasi utama (KPI) adalah emas,” katanya.
Berdasarkan rekod, Malaysia ketika ini berjaya merangkul pingat gangsa dalam acara beregu lelaki badminton di Sukan Olimpik Tokyo menerusi Aaron Chia-Soh Wooi Yik. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929