BOGOTA – Pihak berkuasa sebuah bandar di Colombia mengeluarkan amaran kepada penduduk yang enggan menerima suntikan vaksin untuk tidak keluar rumah atau bersedia untuk dipenjarakan.
Datuk Bandar Sucre, Elvira Julia Mercado, berkata, tindakan tegas itu terpaksa diambil demi melindungi masyarakat setempat yang mahu menghentikan penularan Covid-19.
“Kami perlu berpendirian tegas kerana ini melibatkan nyawa penduduk. Semua orang perlu divaksin.
“Jika enggan divaksin, jangan keluar rumah dan bergaul dengan penduduk lain di Sucre,” tegasnya.
Beliau memutuskan perintah kekal berada di rumah selama lapan hari bagi mereka yang belum diberi vaksin walaupun bandar tersebut memiliki dos vaksin yang cukup untuk semua 28,000 penduduknya.
Setakat ini, hanya 10,000 yang memilih untuk diimunisasi, kata Mercado sambil menyalahkan penularan berita palsu tentang pengambilan vaksin atas keengganan penduduk tempatan.
“Ada sesetengah orang alim yang enggan diberi vaksin kerana kononnya bertentangan dengan agama (Kristian), manakala orang muda pula menolak divaksin kerana diberitahu tidak boleh keluar minum dan baki yang lain memberitahu bahawa mereka akan mati dalam dua tahun kerana vaksin ,” katanya.
Di bawah perintah itu, individu yang tidak diberi vaksin boleh meninggalkan rumah hanya untuk mengakses perkhidmatan kesihatan atau mendapatkan suntikan.
Semua penduduk bandar perlu menunjukkan kad vaksin untuk mengakses pasar raya, bar, disko, restoran, bank dan kedai.
Mereka yang tidak menurut arahan tu berisiko dikenakan denda sehingga AS$260 (RM1,098), dan individu dengan kesalahan berulang boleh dikenakan hukuman penjara.
Langkah itu akan dikaji lagi dalam masa lapan hari berdasarkan keadaan semasa Covid-19 di bandar itu. – Agensi