Oleh Azizan Hashim
KETUA jurulatih Perak, Mehmet Durakovic mengambil pendekatan merendah diri mengenai peluang skuad The Bos Gaurus dalam perebutan kejuaraan Liga Super menjelang kempen Liga Super yang akan bersambung pada 26 Ogos ini.
Durakovic berkata, beliau sedar kekuatan pasukan sendiri dan enggan mendabik dada meskipun Perak kini hanya dipisahkan dua mata berbanding pendahulu liga.
“Kami kena ukur di badan sendiri. Ini kerana semua pasukan yang bersaing dalam Liga Super mempunyai keistimewaan masing-masing. Jadi, semua pasukan berpotensi untuk menjuarai liga pada kali ini.
Jangan lupa pasukan Johor Darul Ta’zim kerana mereka adalah juara enam tahun berturut-turut,” katanya kepada pemberita semalam.
Meskipun cuma ada baki tujuh perlawanan dan Perak hanya ketinggalan dua mata di belakang JDT, jurulatih dari Australia itu tetap menganggap Pahang, Kedah, Terengganu dan Melaka United sebagai pencabar utama.
“Saya harap para pemain saya tidak sekali-kali memandang rendah kemampuan pasukan-pasukan ini kerana mereka punyai pengalaman serta pemain berwibawa,” kata Durakovic.
Bagaimanapun beliau gembira kerana pemain The Bos Gaurus bersemangat dan berkeyakinan tinggi untuk menghadapi baki saingan Liga Super dengan sepak mula menentang Melaka United.