TIGA persatuan bola sepak (FA) yang bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) diminta agar memulakan proses pertukaran status kepada kelab bola sepak (FC) sebelum berakhir tarikh permohonan pada 30 September depan.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, tiga pasukan yang membabitkan dua wakil Liga Super dan satu Liga Premier itu masih senyap seribu bahasa mengenai proses penswastaan pasukan.
“Kami tidak tahu apa masalah tiga pasukan itu sehingga menyebabkan sukar buat mereka memulakan proses penswastaan pasukan.
“Bukan tiga pasukan ini sahaja, ada lima pasukan lain yang turut diarahkan untuk melakukan kerja dengan lebih pantas kerana apa yang mereka lakukan sekarang masih pada fasa separuh jalan.
“Malah, semua pasukan terbabit memiliki masalah berlainan tetapi sebahagian besar adalah kerana pengurusan dalaman baru sahaja bertukar,” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Mengulas lanjut, Stuart mengakui tidak boleh mendedahkan nama-nama pasukan terbabit bagi menghormati ruang dan masa yang masih ada buat mereka melakukan pertukaran status kepada FC.
“Secara jujur, saya akui hal itu adalah proses yang memerlukan masa kerana bukan setakat mendaftar syarikat tetapi ada perkara lain seperti memerlukan kelulusan Exco (Ahli Jawatankuasa Eksekutif), dokumentasi dan sebagainya.
“Bagaimanapun, FAM sentiasa terbuka untuk membantu setakat yang termampu memandangkan tarikh akhir pertukaran status FA kepada FC ini akan tamat pada 30 September depan,” katanya.
Sebagai rekod, lima pasukan Liga M tidak mempunyai masalah dan hampir mencapai tahap 100 peratus penswastaan pasukan manakala status lapan pasukan lagi berada pada tahap memuaskan.