AKTOR Sonu Sood sememangnya dikenali sebagai individu yang pemurah dan gemar membantu ahli masyarakat.
Setiap tahun, Sonu akan memperuntukkan sejumlah wang untuk dibelanjakan bagi membantu golongan miskin dan memerlukan, termasuk para pelajar yang mempunyai masalah untuk menyambung pelajaran.
“Ini adalah pengorbanan terbesar saya. Saya membantu mereka bukan kerana inginkan populariti. Tetapi atas dasar kemanusiaan,” katanya.
Sebelum ini, pelakon tersebut pernah membantu sekumpulan pekerja miskin yang mempunyai masalah pengangkutan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing selepas banyak sektor ekonomi ditutup ekoran pandemik Covid-19.
Sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-48 akan datang, Sonu berharap dapat menyediakan sekurang-kurangnya 1,000 hingga 1,500 buah katil untuk disumbangkan kepada beberapa buah hospital dan 10 kali ganda bantuan biasiswa dapat diberikan kepada pelajar yang kurang bernasib baik.
“Pada waktu sukar ini, semua orang memerlukan bantuan dan saya akan sedaya upaya membantu setakat mana yang boleh,” katanya.
Disebabkan sifatnya yang pemurah, maka tidak mustahil Sonu sangat disayangi ramai.
Bahkan, sebuah kuil turut dibina di negeri Andhra Pradesh oleh masyarakat di sana untuk pelakon tersebut atas tanda penghargaan kepada aktor yang terkenal dengan filem Arundhati itu.