TOKYO – Acara bola sepak lelaki bagi saingan Sukan Olimpik Tokyo kini sudah menghampiri penghujung apabila bakal memasuki saingan separuh akhir esok apabila kedua-dua perlawanan akan diadakan serentak.
Juara bertahan, Brazil akan turun menentang juara Olimpik London 2012, Mexico di Stadium Ibaraki Kashima manakala Jepun pula akan berdepan Sepanyol di Stadium Saitama untuk merebut slot final.
Brazil yang merupakan pasukan pilihan untuk melangkah ke perlawanan akhir berjaya membenam cabaran Mesir 1-0 pada perlawanan suku akhir.
Dalam pada itu, Mexico membuktikan mereka masih berbisa apabila membelasah Korea Selatan 6-3 pada saingan peringkat yang sama.
Tuan rumah, Jepun yang mara ke saingan empat pasukan terbaik itu apabila menewaskan New Zealand 1-0 hasil jaringan tunggal ketua pasukan mereka, Maya Yoshida akan berdepan Sepanyol dengan misi untuk mara ke perlawanan akhir dan meraih emas acara berkenaan.
Sepanyol dibarisi pemain bintang seperti Marco Asensio, Pedri, Dani Olmo, Dani Ceballos serta Rafa Mir yang menjaringkan hatrik di suku akhir ketika menundukkan Ivory Coast di suku akhir pastinya enggan memberi laluan mudah kepada Jepun biarpun mereka beraksi di laman sendiri. – AGENSI